Sorting by

×

Bayaran RM1,136 bagi pengambilan pra kali pertama – Imigresen

Masa Membaca:59 Saat

PUTRAJAYA, 7 Jan – Jabatan Imigresen hanya mengenakan kadar bayaran RM1,136 bagi pengambilan pembantu rumah asing (PRA) kali pertama, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata jumlah tersebut merangkumi bayaran levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran pas, wang jaminan dan beberapa bayaran berkaitan.

Menurutnya, majikan bebas memilih pembantu rumah asing dari Filipina, Indonesia, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Kemboja, Nepal mahupun Laos kerana kerajaan tidak mengehadkan negara sumber bagi urusan pengambilan PRA.

“Bagaimanapun, setiap pengambilan PRA perlu mematuhi syarat kelayakan yang digariskan seperti umur, jantina dan lulus pemeriksaan kesihatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) apabila tiba di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan bahawa kerajaan mengenakan bayaran tinggi mencecah lima angka bagi proses pengambilan PRA, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada Rabu lepas (5 Jan).

Dalam pada itu beliau berkata sehingga 31 Dis lepas, seramai 88,173 PRA memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai prosedur permohonan PRA boleh melayari portal rasmi Jabatan Imigresen www.imi.gov.my atau media sosial rasmi jabatan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

856
Kongsi :
Previous post 85.7 peratus ketua isi rumah terima bantuan wang ihsan setakat tengah hari ini – PM
Next post Malaysia, Singapura nilai semula risiko sebelum teruskan VTL udara, darat
Ubah saiz-+=