Bayar RM10 dapat masuk 5 muzium
AYER KEROH 6 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan meneruskan tawaran tiket serendah RM10 buat pengunjung memasuki lima muzium sempena Melaka Bila Larut Malam.
Pengurus Besarnya, Erne Hamsah berkata, dengan harga istimewa itu pengunjung atau pelancong boleh menikmati tarikan sejarah di Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Samudera, Muzium Istana Melaka, Muzium Rakyat dan Muzium Belia.
Jelasnya, tawaran itu dibuka kepada pengunjung yang memeriahkan sambutan itu dan terpakai pada waktu operasi bermula 9 malam sehingga 2 pagi.
“Untuk tawaran ini, PERZIM akan kekal meneruskannya buat mana mana pengunjung sempena sambutan Melaka Bila Larut Malam bagi memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Alhamdulillah, sejak ia dibuka kita merekodkan kemasukan yang begitu positif dalam memberikan peluang ini untuk berkunjung di muzium pada waktu malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Erne berkata, sambutan Melaka Bila Larut Malam yang memasuki edisi ketiga pada 3 Ogos lalu telah merekodkan sebanyak 356 jualan tiket bermula dari jam 9 malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, Muzium Samudera mencatat jumlah kemasukan tertinggi apabila sebanyak 301 tiket dibeli pengunjung di muzium tersebut pada malam itu.
“Ia diikuti di Muzium Istana sebanyak 39 tiket, 10 tiket dijual di Muzium Sejarah, dan enam di Muzium Rakyat.
“Kesemua kemasukan tiket ini telah membuka peluang kepada pengunjung untuk mengunjungi mana-mana muzium yang disenaraikan sempena sambutan itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.