Bayar cukai taksiran, dapat motosikal percuma
AYER KEROH 24 Ogos – Siapa sangka melalui pembayaran cukai taksiran dengan menepati tempoh yang diberikan membolehkan seseorang pemilik harta itu mendapat motosikal percuma?
Namun, itulah yang berlaku di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang menawarkan hadiah menarik seperti motosikal, televisyen, peti ais dan pelbagai lagi kepada pemilik harta melalui Cabutan Bertuah Cukai Taksiran penggal pertama 2020.
Menurut Yang Dipertuanya Shadan Othman, tarikan itu diperkenalkan bagi menggalakkan pemilik-pemilik harta membayar cukai tepat pada masanya selain membantu pihaknya mengumpul maklumat pemilik yang ada di bawah MPHTJ.
“Sesiapa sahaja yang membayar cukai taksiran lebih awal atau tepat pada masanya layak memasuki cabutan bertuah yang kita sediakan.
“Tapi hanya untuk mereka yang mengikut tempoh ditetapkan sahaja. Jika bayaran diterima lewat memang tak layak untuk menyertai cabutan bertuah ini.
“Tarikan ini kita sedia untuk mendisiplinkan pemilik harta untuk bayar tepat pada waktunya. Ini kerana melalui hasil cukai yang kita terima, kita dapat laksanakan perkhidmatan terbaik di kawasan Hang Tuah Jaya yang pada akhirnya untuk semua yang berada di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MPHTJ Penggal Pertama 2020.
Jelas Shadan, sehingga kini terdapat lebih 50,000 pemilik harta telah direkod dalam kawasan Hang Tuah Jaya.
Daripada jumlah itu, pihaknya menerima kutipan keseluruhan RM16.5 juta dalam tempoh penggal pertama iaitu dari tarikh 1 Januari hingga 29 Februari lalu.
Katanya, dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima kutipan tunggakan sebanyak RM2.3 juta bagi cukai taksiran semasa menerusi penyertaan lebih 13,950 pembayar.