Bayangan jelas PRU15 diadakan dalam tahun ini – Ahmad Maslan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PONTIAN, 18 Sept – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau yakin Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tahun ini yang hanya berbaki tiga bulan.

“Semua negeri kita dah buat pertemuan beramai-ramai, semua pertemuan (libatkan) setiap bahagian. Pendek kata, sudah tidak ada apa untuk dilakukan, selesai dah semua.

Jadi apa yang PM (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebut pembubaran adalah sedikit masa lagi, ia memberi gambaran yang sangat jelas bahawa PRU15 akan diadakan seawal mungkin,” katanya kepada pemberita ketika Karnival Sukan Peladang sempena Hari Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ucapan Ismai Sabri semalam yang seperti memberi bayangan PRU15 akan diadakan tidak lama lagi.

Ahmad berkata beliau mahu jentera parti untuk menyahut seruan pimpinan tertinggi UMNO yang mahukan  parti menguasai kempen secara maya dan perang siber, sekali gus mengambil iktibar kekalahan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 akibat tohmahan dan fitnah secara maya.

Sementara itu UMNO sudah mula menerima pencalonan daripada bahagian-bahagian parti itu dari seluruh negara untuk diketengahkan dalam PRU15 nanti.

Ahmad berkata selain daripada itu UMNO akan memperkemaskinikan jentera dan portfolio di pusat daerah mengundi (PDM).

“(Kita) dalam proses (menerima senarai calon). Sebahagian sudah kita terima, sebahagian belum.

(Selalunya) apabila Parlimen bubar, kita ada tempoh kira-kira dua hingga tiga minggu untuk segala-galanya dimuktamadkan (senarai calon). Kalau cepat dua minggu, kalau lewat tiga minggu,” katanya ditanya sama ada pucuk pimpinan pusat menerima senarai calon daripada kesemua 191 bahagian yang akan bertanding pada PRU15. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1402
Kongsi :
Previous post Kebersihan tapak lokasi penganjuran Hari Malaysia 2022 terus dijaga
Next post Pokok tumbang: Adun Telok Mas salur bantuan segera
Ubah saiz-+=