Sorting by

×

Bawa senjata ke Pulau Besar demi ‘content’ TikTok, dua sekawan ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TELOK MAS 11 Dis – Dua individu ditahan polis bersama lapan senjata termasuk pedang dan keris di Pulau Besar, pada Khamis.

Kedua-dua mereka termasuk wanita ditahan kira-kira jam 11 pagi, oleh pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika menjalankan penugasan terdapat sekumpulan lima individu termasuk dua wanita sedang berkumpul di pulau itu.

“Pasukan pemantauan kemudian menahan kesemua mereka untuk pemeriksaan lanjut sebelum menemui sebilah pedang, lima bilah keris serta dua bilah parang.

“Susulan itu seorang lelaki serta wanita berusia 45 dan 41 tahun ditahan kerana menjadi pemilik senjata terbabit,” katanya.

ACP Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata, tiga lagi individu kemudian dibebaskan sebaik selesai proses dokumentasi.

“Soal siasat dijalankan mendapati mereka dikatakan ke Pulau Besar untuk membuat video untuk dimuat naik ke aplikasi TikTok.

“Mereka juga difahamkan ada belajar ilmu persilatan dan mempunyai sijil,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, apa-apa senjata yang tersenarai dibawah Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa ke tempat awam tanpa sebarang kebenaran.

“Oleh itu, kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1904
Kongsi :
Previous post Piala AFF: Harimau Malaya idam kejutkan Vietnam
Next post Pengambilan semula pekerja asing bantu pemulihan perniagaan, ekonomi – FMM
Ubah saiz-+=