Bawa semangat Jalur Gemilang, pandu kereta Saga berusia 32 tahun ke seluruh Thailand
Pengembaraan mengujakan selama 30 hari memandu Proton Saga berusia 32 tahun berwarna hitam milik bapanya untuk menjelajah ke negara Gajah Putih itu dikongsikan Chen Chun Yip, 27 tahun, kepada Bernama baru-baru ini.
Pemanduan secara solo kereta Proton Saga edisi pertama itu bermula dari rumahnya di Seri Kembangan, Selangor, kemudian menuju ke Thailand melalui pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan keseluruhan 23 tempat persinggahan di setiap wilayah negara Gajah Putih itu.
Menceritakan pengalamannya itu, anak sulung daripada tiga beradik ini berkata sepanjang pengembaraannya dengan kenderaan kebanggaan nasional yang dipandunya itu, langsung tidak berdepan sebarang kerosakan serius dan sampai ke semua destinasi dengan selamat.
Tambah menarik, apabila dia juga berjaya memandu pada jarak paling jauh tanpa henti iaitu dari Chiang Rai ke Bangkok sejauh hampir 800 km yang memakan masa lebih 14 jam selain ke Doi Inthanon, puncak tertinggi di Thailand yang berketinggian 2,565 meter dari paras laut.
“Kereta ini tidak pernah dilakukan modifikasi, enjin dan semua komponennya adalah yang asal dari kilang. Bapa membelinya sebagai kereta pertama keluarga dan ia dijaga rapi dengan servis sentiasa dilakukan mengikut jadual.
“Saya juga beruntung, kereta ini tidak pernah berdepan masalah besar, dengan hanya sekali ‘top overhaul’ dan lain-lain jika ada pun kerosakan kecil,” kata Chen yang mengusahakan perniagaan inkjet printing.
Berkongsi lanjut penerokaannya ke negara Gajah Putih itu, lelaki ini berkata dia ingin tampil kelainan menjelajah Thailand serta ingin membuktikan kenderaan nasional edisi pertama itu juga masih ‘gagah dan lasak’ untuk perjalanan jauh sekiranya dijaga dengan baik.
Sepanjang penjelajahannya selama 30 hari di negara itu, antara tempat persinggahan menarik yang dikunjunginya ialah Hat Yai; Phuket; Ranong; Mae Hong Son; Chiang Mai; Chiang Rai; Hua Hin; Bangkok dan Golden Triangle (pertemuan sempadan tiga negara – Thailand, Myanmar dan Laos).
“Sejak akhir-akhir ini, saya melihat ramai rakyat Malaysia menunggang motosikal atau memandu kereta berjaya sampai ke utara di Thailand iaitu seperti Chiang Rai dan Chiang Mai, tapi untuk kereta Proton Saga, saya tidak nampak lagi.
“Jadi, sebagai pemilik kereta nasional, saya mahu mencuba… Saya fikir, inilah cara terbaik untuk saya menzahirkan kebanggaan serta memberikan pengalaman unik selepas ia banyak menabur bakti kepada saya dan keluarga sejak lebih tiga dekad lalu,” ceritanya yang turut memiliki Proton Inspira.
Tambah mengujakan, apabila dia berpeluang menyertai pameran lebih 200 pelbagai jenis kereta, Cars and Coffee anjuran Amazing Thailand semasa tiba di Bangkok dengan kereta Proton Saga turut diberi tempat istimewa sebaris kereta lain.
“Ramai peminat permotoran dari Thailand tidak mengenali kereta yang saya pandu ini jenis apa dan apabila saya terangkan yang saya pandu kereta buatan Malaysia edisi pertama hingga jelajah ke seluruh Thailand, mereka sangat teruja kerana tidak pernah lakukan perkara apa yang saya buat.
“Mereka juga tertarik dengan reka bentuk logo asal Proton (bintang dan bulan sabit), dan apabila saya bercerita mengenai asal reka bentuk itu yang ada kaitan dengan Jalur Gemilang kita, jadi rasa banggalah,” katanya yang turut ditemu ramah wartawan permotoran Thailand. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.