BAWA PELANCONG JERMAN KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KOTA LAKSAMANA 15 Oktober – Kepelbagaian budaya, khazanah dan produk pelancongan adalah satu kelebihan bagi Melaka untuk menggamit lebih ramai pelawat dari Jerman bercuti di Negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat Ogos sahaja seramai 8,300 pelancong Jerman direkodkan singgah di Melaka dan berharap angka itu akan terus meningkat.

“Melaka menyediakan lebih 700 tarikan pelancongan melibatkan 14 sub-sektor termasuk sejarah, budaya, rekreasi, sukan, beli-belah, agama, kesihatan serta pelbagai lagi.

“Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Kerajaan Negeri telah mengatur pelbagai acara dan program menarik yang setakat ini berjaya menggamit kehadiran lebih 10.16 juta pelancong setakat Ogos lalu.

“Saya menjemput lebih 90 juta rakyat Jerman untuk terus meneroka Melaka. Misi Kerajaan Negeri ini bertepatan kerana kita komited untuk membawa dunia ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersempena Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Baden-Wurttemberg, Jerman, Dr. Nicole Hoffmeister-Kraut, ketua-ketua jabatan dan agensi serta tetamu lain.

Ab Rauf berkata, promosi pelancongan mampu dirancakkan lagi apabila dunia memilih Melaka sebagai tuan rumah bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang bakal diadakan pada September tahun hadapan.

“Dua penganjuran ini mampu menarik lebih 3,000 peserta daripada 159 negara ahli termasuk 500 ahli sektor swasta, menteri pelancongan dan pemimpin industri terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN KECEMASAN
Next post 24 PESERTA MELAKA BERTANDING DI MAHRAJAN AMAL ISLAMI MUALAF
Ubah saiz-+=