Sorting by

×

Bawa isteri OKU teman niaga bola golf

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BEMBAN 18 Julai – “Jika memang ditakdirkan saya berniaga bola golf sampai akhir hayat, saya sanggup kerana inilah mata pencarian untuk menampung keperluan hidup setiap hari.”

Itu luahan Jaapar Leman,66, yang terpaksa membawa isteri Arnizah,47, yang juga orang kurang upaya (OKU) berniaga di tepi jalan berhampiran Tiara Golf and Country Club, Gapam, di sini.

JAAPAR menunjukkan bola golf yang dijualnya.

Biarpun terpaksa mengharungi keperitan hidup, namun atas minat yang mendalam terhadap sukan golf, Jaapar tidak pernah mengeluh berniaga selama 25 tahun pada setiap hari di kawasan itu.

“Laku ke tidak saya tetap niaga dari jam 8 pagi hingga 4 petang dan terpaksa bawa isteri bersama kerana risau akan keadaannya… jika keadaan mengizinkan saya jual hingga jam 6 petang.

“Pernah sekali bulan lalu hanya satu beg bola golf yang dijual dengan harga RM30.

“Itupun pelanggan yang singgah kadang simpati dengan saya dan atas sebab itu dia membeli bola golf yang saya jual,” katanya ditemui Melaka Hari Ini.

Jaapar berkata, dia mendapat bekalan bola golf daripada kelab golf berdekatan yang sudah digunakan oleh pemain golf.

ORANG ramai yang singgah untuk membeli bola golf dijual Jaapar, hari ini.

“Saya dapat stok dari tempat golf di sini juga, mereka tolak bola yang dah digunakan pada saya dan saya bawa balik untuk cuci bersih-bersih kemudian jual.

“Setiap hari saya bawa 100 beg bola golf untuk dijual, jika laku dapat la untung satu beg RM5 hingga RM8, jika tiada yang beli saya bawa la balik semua bola golf ini.

“Harga bagi setiap satu beg bola golf bermula dari RM10 hingga RM50, dalam satu beg ada 10 biji atau 12 biji bola golf,” katanya lagi.

Tambahnya, biarpun perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun dia tidak pernah berputus asa terus berniaga walaupun tiada seorang pun pelanggan yang singgah.

“Bila PKP kelab golf tidak boleh dibuka, jadi memang tiada orang yang beli, tapi saya terus niaga, mana tahu ada rezeki orang yang datang singgah.

“Rumah sewa pun perlu dibayar RM300, memang la isteri OKU dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan tapi saya tak boleh mengharapkan wang itu.

“Pernah juga makan nasi putih dengan sambal saja, tapi saya reda itu adalah ujian Allah buat saya dan keluarga,” katanya dalam nada sebak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post ‘Bikin’ kopi depan pelanggan
Next post NGO diseru berganding bahu bantu golongan tercicir
Ubah saiz-+=