Bawa anak kecil ke bazar ramadan tanpa pelitup muka?

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PERINGGIT 5 April – Sikap segelintir ibu bapa yang membiarkan anak masing-masing terdedah kepada persekitaran tanpa memakai pelitup muka ketika di bazar Ramadan dilihat sebagai satu perkembangan tidak sihat yang amat membimbangkan.

Meskipun ancaman COVID-19 belum berakhir ramai ibu bapa dilihat membiarkan anak mereka tanpa memakai pelitup muka seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.

Begitulah suasana ketika tinjauan Melaka Hari Ini di bazar Ramadan Jalan Cempaka di sini petang semalam yang menyaksikan kelalaian dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan segelintir pengunjung.

Keadaan itu menyaksikan ada ibu bapa yang mengendong anak mereka sambil menikmati ‘keindahan’ bazar yang sesak malah ada yang menolak anak di dalam ‘stroller’ tanpa dipakaikan pelitup muka.

Apa yang menjadi persoalan, setakat manakah kesedaran itu kerana hanya ibu bapa saja dilihat mementingkan diri memakai pelitup muka namun mengabaikan anak mereka yang terdedah dalam suasana sesak terutama pada waktu puncak sekitar jam 5.30 petang.

Biarpun dua pintu masuk bazar berkenaan hanya dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) namun kesesakan yang berlaku seolah tiada penguatkuasa yang ditugaskan, semakin larut petang semakin ramai yang datang malah tiada penjarakan sosial dipraktikkan dalam kalangan pengunjung.

Seorang petugas keselamatan ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, anggota bertugas telah sedaya upaya menjaga keselamatan di kawasan berkenaan termasuklah mendedahkan garis panduan kepada pengunjung bagaimanapun tidak diendahkan.

“Garis panduan sudah diberi termasuk tidak menggalakkan membawa anak kecil ke bazar Ramadan namun dimarah dan dicerca oleh sebilangan ibu bapa.

“Perkara ini tentu sekali menyukarkan usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sedangkan masyarakat seharusnya lebih bijak apabila negara kini sudah memasuki fasa endemik,” katanya yang kesal.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan kepada orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada membawa anak-anak mereka mengunjungi tempat-tempat yang sesak.

“Pemakaian pelitup muka atau topeng masih diwajibkan dibawah Akta 342, perkara ini masih berkuatkuasa.

“Kita perlulah melindungi diri kita kalau nampak tempat itu sesak mungkin kita tak perlu pergi lagi. Kalau keadaan dah kurang sesak baru kita pergi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post Polis Melaka aktifkan kembali Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah
Next post Peduli gelandangan, sifar kemiskinan
Ubah saiz-+=