Baulu cermai kayu arang kekal tradisi nenek
PAYA RUMPUT 13 April – Mengekalkan tradisi turun temurun nenek sejak 26 tahun yang lalu, Bahulu Original Angah sentiasa mendapat perhatian dek kerana aroma dan rasanya yang unik.
Menggunakan teknik secara tradisional daripada penyediaan bahan iaitu memukul telur sehingga ke teknik membakar baulu, sudah tentu kualiti baulu yang dihasilkan berbeza.
Pengusahanya, Norfaizatun Haniza Abd Jalil, 46, berkata minatnya yang mendalam dalam menghasilkan kuih tradisional sejak usia 18 tahun menjadikannya nekad untuk mengusahakan sendiri perniagaan ‘baulu cermai’ sehingga hari ini.
“Waktu itu saya masih remaja, selalu tolong wan (nenek) membakar baulu, lama-kelamaan bila wan sudah tua saya mula hasilkan baulu sendiri atas tunjuk ajar yang diberikan.
“Bezanya baulu dibakar menggunakan arang adalah pada aroma dan teksturnya lebih rangup, kalau orang makan dia tak mudah rasa muak biarpun sudah lebih tiga ke empat biji.
“Pernah juga kawan-kawan sarankan supaya saya letak perisa baulu ini, tapi saya lebih memilih untuk kekalkan keaslian baulu tradisi ini,” katanya.
Dengan hanya menggunakan ruang kecil di hadapan rumahnya di Taman Krubong Permai, Norfaizatun kini boleh menghasilkan kira-kira 1,500 biji baulu cermai setiap hari.
“Biasanya saya akan sibuk setiap kali Ramadan dan Syawal yang mana saya akan mula siapkan tempahan bermula jam 6 pagi sehingga 7 petang, proses memukul telur sahaja memerlukan masa dua jam untuk pastikan ia betul-betul kembang dan gebu.
“Selepas itu baharu saya mula membakar, baulu ini lebih sedap kerana 100 peratus saya menggunakan arang sahaja, kalau orang sudah biasa makan baulu, mereka akan tahu rasanya lain.
“Baulu biasanya dibuat seminggu sebelum Aidilfitri untuk memastikan rasanya lebih sedap dan segar, dalam seminggu ini lebih 6,000 biji baulu dapat dihasilkan,” katanya lagi.
Ibu kepada tiga anak itu komited untuk meneruskan tradisi turun temurun menghasilkan baulu kerana mahu memastikan kuih tradisional itu dapat diwarisi generasi akan datang.
“Biarpun pernah melecur di tangan semasa membakar baulu, namun disebabkan minat dan sokongan ahli keluarga yang suka makan baulu, saya teruskan juga perniagaan baulu ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.