Batu Puteh: Teliti semula tuntutan, rundingan segera dengan Singapura – PM Anwar
PUTRAJAYA, 14 Disember – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Ini supaya tidak timbul sebarang masalah berhubung isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya minta Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan beberapa kesan sampingan.
“Saya minta (perkara) itu diteliti supaya ada rundingan lebih bermakna dengan Singapura,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Pada 13 Okt lepas, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan dilaporkan berkata jemaah menteri bersetuju Malaysia meneruskan tindakan perundangan di ICJ berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Keputusan itu dicapai setelah mendengar laporan pembentangan dan cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 7 Okt lepas.
Selain itu, Anwar berkata mesyuarat Kabinet hari ini juga membincangkan beberapa hal tertangguh termasuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
Beliau berkata ahli jawatankuasa RCI, bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif telah memberi taklimat dan perbincangan akan disambung Januari ini berhubung perkara berkait dengan apa yang berlaku di Tabung Haji serta cadangan untuk memperbaiki pengurusan institusi kewangan Islam itu.
RCI ditubuhkan pada Julai tahun lepas di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.
Penubuhan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.