Sorting by

×

Battle Of The Bands TD 2023 bawa tuah buat Kombo RAMD

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Meskipun empat tahun bukan satu tempoh  yang singkat namun penantian itu sudah pasti berbalas buat Kombo Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori Jabatan Arah dan Kor pada pertandingan akhir Battle Of The Bands Tentera Darat 2023.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dataran Sejarah, Ayer Keroh malam tadi itu, kumpulan itu berentap bersama tiga lagi kumpulan lain dengan mendendangkan dua buah lagu termasuk satu hasil ciptaan sendiri iaitu Tanah Air Warisan.

Pengurus Kombo RAMD Mejar Mohd Firdaus Kassim berkata,  berdasarkan kekalahan tiga pertandingan sebelum ini dia bersama kumpulan cuba mencari penyebab dan memperbaiki kekurangan.

Katanya, pertandingan sebelum ini kumpulannya layak ke pertandingan akhir tetapi bukanlah berada di tiga teratas terbaik dan pada tahun ini sekali lagi Kombo RAMD berjaya sehingga ke final.

“Kekalahan sebelum ini banyak mengajarnya dan daripada situ kami belajar bagaimana untuk menghasilkan sebuah persembahan yang baik begitu juga kesesuaian lagu.

“Apabila nama kumpulan kami diumumkan sebagai johan memang terkejut, daripada hanya sebagai kumpulan yang layak ke final tiba-tiba terus ke johan.

“Sudah pasti ini suatu pencapaian terbesar buat kumpulan sekaligus dapat membuktikan kami juga tidak kurang hebatnya,” katanya.

IMG_8655
Pengurus Kombo RAMD Mejar Mohd Firdaus Kassim

Dia yang juga penulis lirik Tanah Air Warisan berkata demikian selepas Pertandingan Akhir Battle Of The Bands Tentera Darat 2023 yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Sabtu malam.

Hadir sama menyaksikan pertandingan akhir itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengarah Jabatan Pengembangan  Bahasa dan Sastera Mohamad Salahuddin Mohamed serta Panglima 10 Briged (Para) Mejar Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Mohd Firdaus berkata, pemilihan lagu pada pertandingan kali ini dibuat dengan lebih terperinci memandangkan pemarkahan pada lagu adalah lebih banyak berbanding kriteria lain.

“Untuk pertandingan kali ini kami mula membuat latihan sejak Februari dan pemilihan lagu pula berdasarkan tren semasa.

“Alhamdulillah dengan kerjasama ahli kumpulan kami berjaya membuat pemilihan lagu yang tepat termasuk jugalah dengan lagu yang digubah sendiri,” katanya.

Sementara itu, pada pertandingan sama, kumpulan D’Parawood dari 10 Briged (Para) pula dinobatkan sebagai johan bagi kategori formasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post Shadan dilantik Presiden MALA yang baharu
Next post FAMA sasar jualan khas Aidiladha Madani RM11 juta
Ubah saiz-+=