Batik Air diminta selesai isu dalaman segera – EXCO
PEKANBARU 9 Jun – Pihak pengurusan syarikat penerbangan Batik Air diminta supaya menyelesaikan segera isu dalaman mereka, kata EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Katanya, pihak kerajaan negeri sudah menandatangani persefahaman dan perjanjian bersama syarikat itu menerusi portfolio pelancongan.
Menurutnya, Batik Air yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air telah menyatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan negeri untuk membuka semula penerbangan Melaka-Pulau dan Pinang-Pekanbaru selewat-lewatnya pada bulan ini (Jun).
“Mereka telah menyatakan kesetiaan untuk membuka penerbangan semula dari Bandara Sultan Syarif Kassim II dan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam.
“Sepatutnya pihak mereka turut serta dalam misi pelancongan ini namun saya tidak dimaklumkan mengapa mereka tidak dapat bersama.
“Saya harap pihak mereka dapat menyelesaikan isu dalaman dengan segera supaya penerbangan Pekanbaru ke Melaka dapat disegerakan selain penerbangan Melaka dan Pulau Pinang dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai dan Pekanbaru, hari ini.
Muhammad Jailani turut memaklumkan beliau bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali akan ke Pulau Pinang pada 12 Jun ini, selepas pulang dari Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai dan Pekanbaru.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.