BATC 2022: Pasukan wanita negara gagal ke final
Pasukan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, gagal bermula dengan baik pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, apabila jaguh perseorangan wanita negara S.Kisona dikalahlah 16-21 oleh Sim Yujin dalam set pertama.
Meskipun mendahului enam mata iaitu pada kedudukan 10-6 pada set kedua, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Kisona membolehkan perseorangan Korea itu, yang juga pemain ranking ke-49 dunia, kembali menguasai permainan dan seterusnya memenangi set kedua 21-17 untuk menyumbang mata sulung kepada pasukannya.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Kisona, yang berada pada kedudukan ke-64 dunia, mengakui beliau kurang sabar dan gagal mengawal gementar, terutama pada set terakhir.
“Jika saya lebih sabar dan mengurangkan kesilapan pada set kedua, saya percaya saya boleh memenangi perlawanan,” katanya.
Dalam saingan kedua, beregu yang baru digandingkan Valeree Siow-Pearly Tan tidak dapat memenuhi ramalan apabila mudah ditundukkan 15-21, 14-21, dalam masa hanya 36 minit, oleh Baek Ha Na-Seong Seung Yeon, justeru membolehkan Korea Selatan meraih mata kedua mereka.
Menurut Pearly, permainan mereka yang tidak konsisten membuka ruang kepada beregu ke-14 dunia, Ha Na-Seung Yeon, untuk mengutip mata demi mata sepanjang perlawanan.
Menyedari Malaysia perlu mengejar setelah ketinggalan dua mata, perseorangan kedua Siti Nurshuhaini Azman yang dibebani tekanan, gagal mengembalikan peluang pasukan negara.
Setelah tewas 11-21 pada set pertama kepada Lee See Yeon, pemain berpotensi itu wajar dipuji apabila beliau menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menguasai set kedua 21-15.
Bagaimanapun, Siti Nurshuhaini agak keletihan pada set penentuan yang menyaksikan Se Yeon menundukkannya 21-13, sekali gus menamatkan kempen Malaysia dalam kejohanan kali ini dan membawa pasukan negaranya ke pusingan akhir untuk kali kedua sejak BATC dianjurkan pada 2016.
Siti Nurshuhaini yang kecewa kerana tidak dapat mencetuskan kebangkitan buat Malaysia, berkata beliau terlalu terburu-buru untuk memenangi set penentuan tersebut.
“Saya rasa dia (Lee) buat banyak kesilapan dalam set kedua sehingga saya boleh bangkit, namun dalam set ketiga, saya akui saya kurang fokus dan cepat nak matikan bola…saya kecewa tidak dapat bagi mata, tapi bangga dapat wakili Malaysia dalam BATC kali ini,” katanya.
Korea Selatan akan bertembung Indonesia pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 10 pagi esok.
Pasukan Indonesia diberi laluan percuma ke final setelah lawan mereka, Jepun, menarik diri pada saat-saat akhir.
Sementara itu, Malaysia mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir pada kejohanan kali ini selepas muncul juara Kumpulan Y dan seterusnya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei ini.
Pasukan lelaki negara kini menjadi tumpuan setelah dijadualkan untuk bertemu Korea Selatan pada pusingan empat terbaik, 4 petang ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.