Sorting by

×

Batas sawah jadi pentas ‘catwalk’ Ratu D’Bendang

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Batas sawah akan menjadi pentas ‘catwalk’ bagi wanita yang menyertai pertandingan Ratu D’Bendang bersempena Festival D’Bendang Melaka 2024 dari 9 hingga 11 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, pertandingan itu secara tidak langsung mengimbau semula memori lama kerana setiap peserta disyaratkan memakai pakaian yang kebiasaan dikenakan kaum hawa setiap kali turun ke sawah pada suatu ketika dahulu.

Katanya, pertandingan dikendalikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka itu dijangka akan menarik lebih 30 penyertaan wanita tempatan dan luar negeri ini.

“Pertandingan ini memang mencabar kerana peserta perlu menunjukkan kebolehan catwalk diatas batas sawah, yang licin dan sempit, selain menggayakan pakaian seperti orang dulu-dulu ketika turun ke bendang.

“Ada juga syarat ditetapkan seperti fizikal dan lain-lain jadi, mereka yang berminat perlu membuat persediaan awal. Acara ini akan diadakan pada hari Sabtu (10 Ogos),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini semasa Podcast Mana Lagi, Melaka Ler! bersama Adun Sungai Rambai bagi mempromosikan Festival D’Bendang Melaka 2024 di Studio Melaka TV di sini, hari ini.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata pemenang tempat pertama hingga ketiga akan diberikan keistimewaan duduk di meja VIP ketika majlis perasmian penutup festival itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post Ekspo IITTE 2024 himpun produk 20 negara Islam
Next post IITTE suburkan Cara Hidup Islam
Ubah saiz-+=