Sorting by

×

Batal majlis kahwin demi keselamatan keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SEMABOK 18 Jun – Hajat bapa yang mahu meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya secara besar-besaran tidak kesampaian selepas terpaksa membatalkan persiapan yang dibuat sejak Disember tahun lalu.

Keputusan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan pada 28 Mac lalu pada mulanya ditunda selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Namun akhirnya dibatalkan terus kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei.

Ismail Wahit, 56, berkata, tempoh permohonan nikah anak perempuan keduanya, Nur Izzani, 25, hanya sah dalam tempoh tiga bulan sahaja dan keputusan membatalkan majlis perkahwinan dianggap jalan terbaik selain tidak mahu menyusahkan banyak pihak.

Katanya, persiapan untuk mengadakan majlis perkahwinan itu sudah dibuat sejak Disember tahun lalu dan sebelum PKP dilaksanakan, keluarganya sudah mengeluarkan belanja hampir RM3,000 untuk membeli barang kelengkapan majlis.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak keluarga pengantin lelaki, kita batalkan dan hanya mengadakan perkara wajib iaitu acara pernikahan sahaja, yang telah diadakan pada 5 Jun lalu.

“Mujur kami belum membuat pembayaran sepenuhnya kepada katering dan andaman sebaliknya hanya membeli keperluan kering untuk memasak pada majlis itu nanti, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Wan Ali, Semabok.

Sementara itu, isteri Ismail, Rahimah Khamis, 47 berkata dia sedikit hiba dan terkilan kerana tidak dapat melihat sendiri perjalanan upacara majlis nikah anaknya susulan tidak dibenarkan masuk susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tambahan pula, katanya majlis perkahwinan itu adalah majlis yang pertama dibuat dalam keluarga dan mengharapkan majlis itu diadakan secara besar-besaran.

“Namun, saya akur dengan keputusan itu dan pada masa sama berasa lega kerana segala urusan pernikahan Nur Izzani berjalan dengan lancar meskipun tiada kenduri dibuat untuk meraikan majlis perkahwinan pertama dalam keluarganya.

“Sedih juga tidak dapat tengok sendiri anak dinikahkan, dan hanya melihat menerusi gambar sahaja selepas dia sah menjadi isteri, namun kita sebagai rakyat harus patuh kepada arahan demi keselamatan semua.

Sementara itu, Nur Izzani berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, keluarga suaminya hanya mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri dari Kedah selama dua hari sahaja.

“Itupun dibenarkan satu kereta sahaja, jadi ibu dan ayah mertua serta adik perempuan suami sahaja yang hadir.

Views:

1176
Kongsi :
Previous post Kes chikungunya di Pulau Pinang meningkat
Next post Dua rakan baik reda ibadah haji ditangguhkan
Ubah saiz-+=