Sorting by

×

‘Basikal titi’ antara 39 acara gamatkan Festival D’Bendang Melaka 2024

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI RAMBAI 27 Julai – Sebanyak 39 acara termasuk sukan tradisional bakal dipertandingkan sepanjang tiga hari penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024 yang akan berlangsung di Kem Benteng Negara, di sini, 9 hingga 11 Ogos depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, saban tahun pihaknya menampilkan kelainan dan melakukan penambahbaikan dalam memastikan penganjuran festival itu berlangsung meriah.

“Sudah pasti sukan tradisional akan dipertandingkan dan ia membabitkan semua peringkat usia. Jika tahun lalu sebanyak 20 jenis acara diadakan tetapi kali ini kita rangka 39 acara sukan.

“Selain galah panjang, pukul bantal, gagau ikan, tangkap itik, sudah pastinya acara basikal titi akan menjadi tarikan pada tahun ini.

“Malah sukan bola jaring dan futsal pula akan diadakan secara liga kerana dimaklumkan menerima penyertaan yang ramai selain turut akan berlangsung acara Ratu D’bendang, teh tarik, memasak serta dam haji” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak bersama agensi yang terbabit di Kampung Parit Penghulu Benteng, semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024 yang berkonsepkan eko pelancongan dan agro pelancongan itu secara tidak langsung akan mempromosikan lagi Sungai Rambai kepada pelancong.

“Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini kita mahu menarik lebih ramai pelancong ke Melaka dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti penganjuran Festival D’Bendang Melaka ini.

“Sepanjang tiga hari festival kita jangkakan kira-kira 20 buah karavan akan turut serta dan berada di lokasi penganjuran untuk memberi ruang kepada pengunjung melihat secara lebih dekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2289
Kongsi :
Previous post Pemaju perumahan di Melaka disaran terap teknologi hijau
Next post MAPEX 2024 tawar lebih 5,000 unit rumah
Ubah saiz-+=