Bas persiaran terbakar, 44 pelancong dan pemandu selamat
PUTRAJAYA, 21 Jan – Seramai 44 pelancong berdepan detik cemas dan nyaris rentung apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar sepenuhnya di lorong keluar plaza tol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam insiden pada 6.13 pagi itu, semua penumpang dan pemandu bas yang dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Kuala Lumpur berjaya keluar dari kenderaan terbabit.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku, semua penumpang sempat menyelamatkan diri. Bas pelancong tersebut terbakar sepenuhnya dan bumbung Tol UPM juga terbakar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati insiden itu berpunca daripada kegagalan padel klac.
“Keterangan telah diambil daripada pemandu bas berusia 41 tahun. Menurut pemandu, beliau cuba menekan padel klac pada jarak 50 meter dari lorong tol tetapi keras, namun bas berhenti sendiri di lorong berkenaan.
“Ketika itu, seorang penumpang menjerit memberitahu terdapat api di bahagian belakang bas, pemandu yang melihat melalui cermin sisi mendapati api sedang marak di bahagian yang diberitahu,” katanya.
Wan Kamarul Azran berkata pihak PLUS Malaysia Berhad cuba memadam kebakaran itu menggunakan enam pemadam api jenis serbuk kering namun gagal.
Beliau berkata bagaimanapun, api berjaya dipadam oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang yang tiba di lokasi kejadian pada 6.26 pagi, kira-kira sejam kemudian.
“Bas telah dialihkan dari lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan telah membuka semula laluan keluar di persimpangan UPM pada 11 pagi tadi selepas menutupnya buat sementara susulan insiden tersebut.
“Lorong keluar paling kiri di plaza tol terbabit masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.