Sorting by

×

Baru 6 hari, peniaga bazar Aidilfitri Melaka sudah pulang modal

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 9 April – Tanggal 6 Ramadan baru sahaja melabuhkan tirai semalam, namun rata-rata peniaga bazar Aidilfitri mengakui mereka sudah mula pulang modal tapak berniaga.

Itu antara yang dikongsikan peniaga Bazar Aidilfitri Mydin Ayer Keroh kepada EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan.

Zaidi berkata, berbeza seperti tahun lalu yang agak suram, tahun ini, rata-rata bazar menerima sambutan yang cukup menggalakkan bermula awal Ramadan lalu.

Jelasnya, ia sekali gus memberi petanda baik dalam hasrat kerajaan negeri mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan pada masa membantu peniaga-peniaga selepas terkesan teruk dek penangan COVID-19.

“Saya bertanyakan kepada semua peniaga dan alhamdulillah rata-rata mereka sudah mampu tersenyum apabila menerima sambutan cukup menggalakkan daripada pelanggan.

“Pada saya ini di luar jangkaan kerana selepas kita membuat penyelarasan di peringkat negeri dan mengagihkan beberapa tapak yang tidak menjadi tumpuan sebelum ini, akhirnya pembahagian itu menunjukkan hasil yang cukup baik.

“Perubahan itu dapat dilihat dari segi ‘volume’ kehadiran pengunjung sejak awal Ramadan dan saya percaya menjelang hujung bulan, insya-Allah peniaga-peniaga akan mendapat jualan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan Penyerahan Patel Lesen Berniaga di Bazar Aidilfitri Mydin Ayer Keroh, malam tadi, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak bazar, Zaidi berkata, untuk permulaan, pihaknya mengambil pendekatan lebih mesra dan tidak mengambil tindakan kompaun jika berlaku sebarang ketidakpatuhan.

“Kita minta penguatkuasa untuk tidak memberi saman, sebaliknya ‘educate’ penganjur terlebih dahulu memandangkan kita sudah lama tidak keluar dari segmen pandemik.

“Tetapi apapun, selepas ini kita akan mulakan penguatkuasaan lebih ketat dalam memastikan di sebalik keghairahan berniaga, SOP itu juga perlu diutamakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1319
Kongsi :
Previous post Longkang baharu diharap kurangkan risiko banjir
Next post Tiada baju raya boleh jumpa saya – Dr Akmal
Ubah saiz-+=