Barangan antik lebur bersama rumah pusaka

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

REMBIA 9 Nov. – Pelbagai perabot dan peralatan antik yang tersimpan berpuluh-puluh tahun dalam sebuah rumah pusaka, musnah dalam kebakaran di Kampung Solok Mentangor, Sungai Petai, di sini malam tadi.

Ia menyebabkan lima sekeluarga terpaksa menelan detik pahit apabila menyaksikan pelbagai peralatan antik yang menyimpan memori silam keluarga, hangus sekelip mata.

Antara perabot lama itu adalah almari yang diperbuat daripada kayu jati dan katil besi, selain peralatan klasik seperti kipas angin, seterika arang dan beberapa pisau serta parang lama yang bernilai tinggi dalam kalangan penggemar barangan antik.

Kebakaran rumah separuh papan dan separuh batu pada jam 9.15 malam itu menyebabkan mereka kehilangan rumah pusaka keluarga yang diwarisi sejak kira-kira 80 tahun lalu.

Mohd Zaidi Mahat, 34, berkata rumah pusaka itu dihuninya bersama adiknya, Mohd Khalid, 30, manakala ibunya, Maimunah Abu, 66, dan dua lagi adiknya, menghuni kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan.

MOHD Zaidi

“Ketika kejadian, saya berada di rumah PPRT, manakala Khalid keluar ke kedai dan saya terkejut apabila penduduk kampung datang memberitahu rumah kami terbakar.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan amat terkejut apabila mendapati keseluruhan rumah sedang dijilat api dan musnah dalam tempoh tidak sampai setengah jam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Zaidi yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) berkata, sejak ibunya dan dua adiknya berpindah ke rumah PPRT beberapa tahun lalu, hanya beliau dan Mohd Khalid menghuni kediaman yang sudah musnah itu kerana ia mempunyai lima bilik dan lebih luas berbanding rumah PPRT.

Katanya, walaupun sudah lama, rumah berkenaan masih kukuh kerana tiang, lantai dan dindingnya diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi dan sukar dimakan anai-anai.

“Bagaimanapun, kami reda dengan hak dan ketentuan Allah dan pastinya ada hikmah di sebalik kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Alor

Gajah menerima panggilan pada jam 9.21 malam dan menghantar satu jentera dengan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

“Keseluruhan bangunan didapati sudah hangus dan api berjaya dikawal pada jam 9.55 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam manakala, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, Pejabat Penghulu sedang membuat taksiran kerugian dan akan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.

“Kami amat bersimpati dengan ujian yang terpaksa dilalui oleh keluarga Mohd Zaidi dan semoga mereka tabah dan reda menghadapi ujian yang amat berat itu,” katanya.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Peniaga beroperasi seperti biasa ketika PKPB
Next post Sukma, Para Sukma 2020 Johor dibatalkan
Ubah saiz-+=