Bapa tiri kanak-kanak dera pernah didakwa cederakan isteri
AYER KEROH 4 Feb – Bapa tiri kanak-kanak yang dipercayai maut didera dalam sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Jumaat lalu pernah dituduh di Mahkamah Majistret di sini, kerana mencederakan isterinya, September tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali mengesahkan perkara itu ketika ditanya pihak media.
“Kita sahkan suami suspek pernah didakwa kerana memukul isterinya yang juga suspek wanita berkaitan kes itu.
“Bagaimanapun polis tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai soal siasat terhadap kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Dalam pertuduhan itu, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang juga suspek wanita berusia 31 tahun pada ketika itu dengan cara memukul pipinya menggunakan tangan di rumah mereka di Taman Krubong Jaya, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 3 September lalu.
Sementara itu, Abdul Majid berkata, pihaknya akan memohon lanjutan tempoh reman terhadap kedua-dua suspek yang berakhir esok bagi melengkapkan siasatan kes itu.
“Kita sedang mengemaskan siasatan dan ada beberapa perkara yang perlu diteliti lagi.
“Reman kedua-dua suspek akan disambung lagi selepas tempoh reman tamat pada Jumaat ini,” katanya.
MHI sebelum ini melaporkan kisah tragis membabitkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa lemas, namun siasatan awal pihak polis menemui kecederaan fizikal pada badan mangsa disyaki akibat didera.
Sehubungan itu, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak malang itu yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.