Sorting by

×

Banyak majikan masih berdegil

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KOTA LAKSAMANA: Masih banyak majikan di negeri ini dikesan tidak menyediakan penginapan pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka Rosli Jantan berkata, ini dapat dilihat dalam operasi pematuhan yang dijalankan pihaknya bersama agensi Kementerian Sumber Manusia apabila merekodkan sebanyak 533 unit penginapan yang tidak mematuhi akta ditetapkan.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula 1 Februari sehingga semalam, sebanyak 135 majikan termasuk 8,075 pekerja asing dan dan 305 pekerja tempatan diperiksa.

“Sebanyak 784 penginapan diperiksa dan hasilnya didapai 533 unit tidak mematuhi akta ditetapkan manakala hanya 251 unit yang mengikut garis panduan.

“Selain itu, 108 majikan juga didapati tidak mematuhi Akta 446 apabila tidak menyediakan penginapan yang sepatutnya kepada pekerja,” katanya.

ROSLI Jantan

Beliau berkata demikian selepas Operasi Penguatkuasaan Khas Tapak Pembinaan bersama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan Negeri, di sebuah tapak pembinaan di Taman Kota Laksamana, di sini.

Menurut beliau, kesemua majikan yang didapati tidak mematuhi akta itu sudah diambil keterangan sebelum diambil tindakan segera bagi memastikan mereka ini menyediakan penginapan yang sesuai untuk dihuni dan pekerja mendapat perlindungan sewarjanya dibawah undang-undang.

“Seperti pemeriksaan di tapak pembinaan ini hari ini, kita mendapati terdapat seramai 399
pekerja warga asing dan mempunyai 104 kabin yang mana setiap satu kabin ada yang menempatkan sehingga enam individu.

“Apabila pemeriksaan dan ukuran dibuat, setiap satu kabin boleh menempatkan hanya empat pekerja sahaja dan selain daripada itu kita juga mendapati pihak majikan juga tidak menyediakan kemudahan sepatutnya seperti tilam dan juga pengudaraan yang elok,” katanya.

Mengulas lanjut Rosli berkata, pemeriksaan juga mendapati, pihak majikan juga tiada permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga tiada Sijil Perakuan Penginapan Pekerja daripada JTK oleh itu tindakan dibawah Seksyen 24D dikenakan kepada majikan.

Tambahnya, sejak Januari 2021 sehingga semalam seramai 27, 496 pekerja asing telah disaring menerusi Operasi Saringan COVID-19 dan sejumlah 14,016 masih belum berbuat demikian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post PPK tamat tempoh, empat syarikat sub kontraktor diarah henti kerja
Next post Jangan pertikai hukum pengambilan vaksin – Kamaruddin Sidek
Ubah saiz-+=