Sorting by

×

Bantuan zakat korporat SSM bantu ringankan beban kewangan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PAYA RUMPUT 1 Mac. – “Bantuan yang diberikan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan persekolahan yang bermula tidak lama lagi.

“Sebelum ini, saya buntu memikirkan cara bagaimana nak tampung perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah sedangkan saya dan isteri sudah lama tidak bekerja,” kata Hilmiyazat Che Aziz, 50.

Menurut Hilmiyazat, dia menderita sakit tulang sejak lebih tiga tahun lalu dan sejak itu, dia kehilangan punca pendapatan sebagai pekerja am sekali gus bergantung hidup dengan isterinya, Noraini Mohd. Noor.

MOHD RAFIQ menyerahkan sumbangan RM500 kepada Hilmiyazat pada majlis penyerahan sumbangan Zakat Korporat SSM Japerun Paya Rumput sambil diperhatikan oleh Azrin di Japerun Paya Rumput.

Bagaimanapun, kehidupan semakin menghimpit apabila Noraini diserang penyakit kanser payu dara sekali gus tidak mampu lagi bekerja menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Sekarang ini, kami bergantung harapan kepada anak sulung yang bekerja sendiri, itu pun dia baru sahaja terlibat kemalangan jalan raya dan menyebabkan anak tidak mampu berjalan normal,” katanya yang tinggal di Taman Rambai Utama.

Hilmiyazat adalah seorang daripada 32 penerima sumbangan Zakat Korporat SSM Japerun Paya Rumput bernilai RM500 setiap seorang yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan turut disertai Pengarah SSM negeri Melaka, Azrin Mohd Ripin.

Menurutnya, sumbangan RM500 yang diterima itu akan digunakan bagi menampung perbelanjaan dua daripada enam anaknya yang masih bersekolah di tingkatan 1 dan 5.

Selain itu kata Hilmiyazat, dia tidak mahu menjadikan alasan sakit untuk tidak bekerja dan berazam akan terus berusaha untuk mengubah kehidupan keluarga ke tahap lebih baik.

“Saya juga bangga kerana anak sulung walaupun sudah tidak sempurna lagi fizikalnya namun dia masih bersemangat untuk bekerja mencari pendapatan untuk keluarga.

“Malah, pihak SSM juga ada memaklumkan bahawa orang kurang upaya digalakkan memohon pendaftaran SSM bagi memulakan perniagaan, jadi saya berhasrat mahu mengumpul modal bagi memulakan sebarang perniagaan kecil-kecilan nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1101
Kongsi :
Previous post Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88
Next post Tiada satu pun Ordinan Darurat bertujuan bolehkan PM kekal berkuasa- Muhyiddin
Ubah saiz-+=