BANTUAN SEKOLAH ANAK ASNAF, MISKIN, MUALAF DINAIKKAN
BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Bantuan persekolahan bagi anak asnaf fakir, miskin dan mualaf seluruh Melaka dinaikkan kepada RM350 berbanding RM300 sebelum ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata sumbangan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu disalurkan kepada seramai 8,800 anak asnaf.
“Untuk persiapan sekolah kita memang sediakan bantuan khususnya bagi pelajar asnaf, miskin dan mualaf di peringkat MAIM sendiri. Jumlah bantuan dinaikkan daripada RM300 kepada RM350, bantuan ini adalah dengan menyediakan kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut, alat tulis dan sebagainya.
“Murid atau pelajar cuma datang untuk memilih barangan dan pakaian sekolah yang mereka mahu mengikut jumlah bantuan diberikan tersebut, bagaimanapun bantuan ini kita akan laksanakan mengikut parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Segmen Apa Khabau YB? ‘Melaka International Halal Festival’ di Konti MelakaFm di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.
Katanya, bantuan diberikan itu secara tidak langsung dapat meringankan bebanan keluarga memerlukan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
“Jika dalam keluarga itu ada tiga orang anak yang masih bersekolah, maka semua anak akan menerima bantuan tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.