Sorting by

×

BANTUAN SEGERA RM5,000 DAN RM2,500 UNTUK MANGSA KEBAKARAN – PM ANWAR

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SUBANG JAYA 1 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pagi ini.

Beliau yang melawat lokasi kebakaran dan pusat operasi pada petang ini turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.

Katanya, tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama PETRONAS dan kerajaan negeri.

Anwar berkata mereka sedang berbincang mengenai langkah-langkah sesuai berkaitan penempatan mangsa sebelum mereka mampu kembali ke kediaman masing-masing.

“Perbincangan dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), kerajaan negeri dan PETRONAS mendapati rumah mereka tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa terlalu singkat.

“Kerajaan dan PETRONAS sedang berbincang bagaimana untuk mengambil tindakan segera dan munasabah kerana ia akan mengambil masa setahun, bukan seperti bencana banjir yang hanya berlangsung seminggu atau dua minggu.

“Saya harap jangan bimbang, cuma ia mengambil masa sedikit,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan itu.

Sehingga 4 petang ini, sebanyak 190 buah rumah,. 148 kereta serta 11 buah motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.Terdahulu, Anwar diberikan taklimat mengenai koordinasi penugasan dalam insiden itu di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum melawat sendiri tapak kebakaran berkenaan.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad, dan Presiden serta Oresiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Sementara itu, Anwar berkata siasatan rapi akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan dan pasukan siasatan dijangka memerlukan sedikit masa untuk memperoleh keputusan siasatan itu.

Katanya buat masa ini penduduk yang rumahnya terkesan dalam kejadian itu tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan seluruh jentera kerajaan akan digerakkan bagi memastikan penduduk berkenaan mempunyai kemudahan tempat tinggal sementara.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan seperti polis dan bomba, selain PETRONAS kerana telah mengambil tindakan segera bagi menangani insiden berkenaan, serta

jawatankuasa kuil dan masjid berdekatan kerana memberikan bantuan segera kepada penduduk terkesan.
“Keutamaan kita sekarang ialah keselamatan dan semuanya nampak terkawal setakat ini. Sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat itu bagi membuktikan ia selamat,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3102
Kongsi :
Previous post UP TOWN PAYA RUMPUT BEROPERASI SELEPAS AIDILADHA
Next post ORANG ASLI TEBONG STESYEN, KUBANG BADAK BAGAIKAN ‘KELUARGA’ KETIKA AIDILFITRI