Sorting by

×

Bantuan rakyat Melaka diumum esok- Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Kerajaan negeri sedang memperincikan bantuan kepada rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh atau ‘total lockdown’ hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, meskipun pendapatan negeri sebahagian besarnya berasaskan pelancongan, namun dengan bantuan kerajaan Persekutuan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) secara ‘one-off’ sedikit sebanyak membantu pemain industri sektor itu untuk terus bernafas sepanjang tempoh ‘total lockdown’ itu.

Katanya, berikutan itu pihaknya akan memperincikan bantuan yang dapat disalurkan kepada rakyat selepas Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka (JKPNM) bermesyuarat pada pagi ini.

“…kita juga sedang menyediakan inisiatif dan bantuan yang akan kita salurkan kepada rakyat yang terjejas.

“Insya-Allah pagi ini kita bermesyuarat, esok kita akan maklumkan kepada rakyat negeri,” katanya dalam Bual Bicara bersama Ketua Menteri di MelakaFM secara atas talian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pelbagai bentuk bantuan serta inisiatif telah disalurkan kepada rakyat sejak tahun lalu dan perkara itu akan diteruskan pada PKP 3.0 penuh ini.

“Mana yang telah saya maklumkan dalam sidang dewan Belanjawan tahun lepas, segala insentif yang kita beri tahun lepas, kita pohon dan dibawa ke tahun ini dan akan terus meningkatkan inisiatif lain yang boleh membantu penduduk negeri Melaka,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diarahkan untuk memberikan pelbagai insentif baharu kepada rakyat negeri.

“Seperti Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB), ada beberapa inisiatif yang telah dipaparkan menerusi Facebook saya, salah satunya pengurangan 50 peratus sewa gerai dan ruang niaga MBMB bagi Jun dan Julai.

“Banyak lagi insentif untuk rakyat yang dimaklumkan menerusi laman web dan Facebook PBT masing-masing sama ada MBMB, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post PKP 3.0: ERL gantung semua perkhidmatan mulai esok
Next post Seri Negeri ditutup, tujuh kes positif
Ubah saiz-+=