Bantuan Perkeso ringankan beban ibu tunggal lapan anak
AYER KEROH 9 Jun – Ibu tunggal lapan anak, Siti Suryati Sani, 41, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima Pencen Penakat bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman arwah suaminya, Khirul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud, 41.
Arwah suaminya Khirul Azlizam, sebelum ini bertugas sebagai ahli paramedik (pegawai perubatan) di kapal dagang meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan akibat masalah jantung di Hospital Melaka 26 Mei lalu.
Pemergian suami menyebabkan Siti Suryati yang tidak bekerja bimbang memikirkan nasib lapan anaknya kini baru berusia lingkungan 11 bulan hingga 15 tahun.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak pencen diterima meringankan bebanan saya dalam menyediakan keperluan anak-anak.
“Apabila mendapat bantuan bulanan seperti ini saya berasa sangat bersyukur dan anak-anak sudah ada jaminan kewangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skuad Perkeso Prihatin di kediamannya di Taman Sutera Wangi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem yang diiringi Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.
Katanya dia dan anak-anak juga baru saja berpindah ke rumah arwah bapanya berikutan tidak mampu membayar tunggakan rumah sewa selama 10 bulan berjumlah RM4,000.
“Kerana masalah kewangan saya minta izin untuk keluar. Tuan rumah tidak menghalau kami kerana saya yang minta untuk keluar.
“Meskipun suami sudah tiada saya akan berusaha untuk lunaskan hutang itu, syukur kami anak beranak dikelilingi ramai pihak bersimpati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.