Sorting by

×

Bantuan one-off nelayan: Terima kasih kerajaan negeri!

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 28 Dis. – ‘Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan’, apa pun bantuan yang diberikan kerajaan negeri membantu nelayan di Melaka bagi meneruskan kehidupan terutama berdepan dengan pasca penularan pandemik COVID-19.

Itu kata kata Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan, Azmi Leman, 53 yang berpuas hati dengan pengumuman pembentangan Bajet Melaka 2022, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pengkalan Nelayan Pantai Kundor berkata, bantuan benilai RM1,000 yang diagihkan sebanyak empat kali pada tahun hadapan membawa manfaat buat nelayan di negeri ini meneruskan kehidupan.

Katanya, pengumuman dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman menerusi pembentangan Bajet Melaka 2022 itu sekali gus menunjukkan ihsan kerajaan negeri yang sentiasa membela nasib nelayan dengan keprihatinan yang tinggi dan amat dinanti-nantikan nelayan.

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih kerajaan negeri di atas pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang sentiasa peka dengan nasib nelayan di negeri ini, ini satu berita yang cukup gembira buat nelayan.

“Kalau berita ini telah pun diputuskan kami nelayan menerimanya dan berharap ia dapat diteruskan dan bukan sekadar janji-janji kerana ia sekali gus mampu membantu nelayan di Melaka untuk mengembalikan ekonomi pendapatan keluarga nelayan, ini satu cadangan yang cukup baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

AZMI Leman

Sementara itu, nelayan Paya Lebar, Md Nor Ibrahim, 63 berkata, pengumuman yang diumumkan memberi khabar gembira buat nelayan berdaftar di negeri ini.

Md Nor yang terjejas akibat musibah banjir turut menghela nafas leganya apabila bantuan yang dihulurkan pada tahun hadapan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerugian yang dihadapinya.

Jelasnya, seramai 16 nelayan yang terjejas berdepan kerugian ribuan ringgit selepas projek sangkar ikan yang dibina hasil kerjasama Jabatan Perikanan negeri lebih sebulan lalu rosak akibat banjir yang melanda di Sungai Linggi.

“Alhamdulillah, terima kasih kerajaan negeri dengan khabar gembira ini kerana ia membantu nelayan yang terjejas akibat banjir yang melanda lalu sehinggakan sangkar yang terletak di Sungai Linggi beralih hampir 50 meter akibat laluan air yang deras.

“Bantuan sara hidup ini sedikit sebanyak membantu nelayan di kawasan ini selepas lebih 70,000 benih ikan talapia hilang akibat deras banjir yang melanda,” katanya.

MD Nor

Pada masa sama, Pengerusi Jeti Nelayan Klebang Besar, Md Said Adam, 60, berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan yang diumumkan malah pelbagai manfaat lain turut diumumkan buat golongan itu dalam pembentangan bajet terbabit.

“Penghargaan diberikan buat kerajaan negeri diatas inisiatif yang diberikan bagaimanapun kita mencadangkan pada masa hadapan agar bantuan yang diberikan empat peringkat ini disingkatkan agar kadar yang diterima dapat menampung nelayan untuk membeli perkakasan lain kerana harganya yang semakin meningkat.

“Kita cadang bantuan ini diberikan dua kali setahun supaya kadar yang diterima itu tinggi sedikit untuk kami membeli peralatan lain seperti jaring, pukat dan peralatan penangkapan ikan yang lain,” katanya.

MD Said

Terdahulu, Sulaiman mengumumkan semalam seramai 1,176 nelayan negeri yang berdaftar akan menerima bantuan sara nelayan secara one-off akan dibayar selama empat kali pada tahun hadapan.

Bajet Melaka 2022 menerusi strategi keempat iaitu Mengupaya Sektor Pertanian meliputi sembilan inisiatif antaranya menambah baik infrastruktur dan penempatan untuk nelayan, petani dan penternak berjumlah RM500,000.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan pembangunan nelayan laut dalam dengan memperuntukkan RM300,000 bagi tujuan kajian dan menambahbaik skim subsidi peralatan untuk nelayan, petani dan penternak berjumlah RM100,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1420
Kongsi :
Previous post MoU MHI dan Bernama bantu tingkatkan ekonomi Melaka
Next post Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor
Ubah saiz-+=