BANTUAN ONE-OFF KE IPT TAPEM MASIH DIBUKA
PAYA RUMPUT 10 Oktober – Bantuan ‘One Off’ ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masih lagi dibuka buat pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di mana-mana IPT di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, insiatif Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) menawarkan peluang itu kepada mana-mana bakal mahasiswa di negeri ini tanpa mengira bangsa dan taraf kehidupan.
Jelasnya, permohonan boleh dibuat menerusi pihak Japerun atau secara dalam talian di laman sesawang TAPEM dalam tempoh enam bulan selepas menerima surat tawaran pengajian.
“Permohonan ini masih lagi dibuka dan kita berharap bakal-bakal mahasiswa tidak melepaskan peluang ini untuk terus mengemukakan permohonan mereka di dalam tempoh yang ditetapkan.
“Setakat ini, seramai 152 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian dalam Parlimen Tangga Batu telah menerima manfaat ini yang diberikan secara ‘one off’, jadi masih belum terlambat lagi untuk mereka menerima insiatif yang ditawarkan Kerajaan Negeri untuk membantu mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan One Off IPT Peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Taman Paya Rumput Perdana, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim; Adun Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong, Pengurus Besar TAPEM, Aziz Baba serta tetamu lain.
Dalam pada itu, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, pihaknya difahamkan masih ramai bakal pelajar belum memohon insentif berkenaan yang boleh dijadikan bantuan tambahan untuk melanjutkan pengajian.
“Menerusi inisiatif ini bagi mereka yang bakal melanjutkan pengajian peringkat diploma akan menerima sumbangan sebanyak RM400 manakala RM600 untuk peringkat Sarjana Muda dan ke atas.
“Masih ada masa lagi dalam tempoh enam bulan selepas mereka bergelar mahasiswa dan harap mereka boleh memanfaatkan inisiatif ini kerana ini bergantung kepada diri sendiri jika mereka mohon Insya-Allah ia akan terus disalurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.