Bantuan ‘one-off’ dan kurangkan beban nelayan pada musim tengkujuh
TANJUNG BIDARA 17 November – Pemberian bantuan ‘one-off’ berjumlah RM250 dan peralatan keselamatan nelayan adalah inisiatif Kerajaan Negeri mengurangkan beban golongan itu berikutan tidak dapat turun ke laut akibat musim Monsun Timur Laut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan ‘one-off’ yang keseluruhannya berjumlah RM1.18 juta manakala jumlah keseluruhan RM100,000 bagi peralatan keselamatan untuk nelayan laut di Melaka diberikan berdasarkan pengumuman Bajet Melaka 2022 di bawah Strategi Mengupaya Sektor Pertanian.
Katanya, bantuan itu diberikan secara berperingkat dan bayaran keempat iaitu terakhir pada tahun ini disalurkan kepada 327 nelayan daerah Alor Gajah termasuk nelayan di Masjid Tanah.
“Ini adalah inisiatif dan keprihatinan Kerajaan Negeri kerana Melaka mempunyai tabung khusus untuk nelayan sekali gus menyalurkan bantuan secara berkala,” katanya selepas menghadiri Program Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off kepada Nelayan Negeri Melaka di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Negeri, Mohd Fauzi Salehon.
Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Exco Perindustrian, Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri turut mengingatkan golongan nelayan untuk mengambil kira faktor keselamatan sekiranya mahu meneruskan aktiviti menangkap ikan di laut pada musim tengkujuh ini.
“Kita tidak menggalakkan nelayan untuk ambil risiko sewaktu musim tengkujuh ini untuk keluar ke laut malah Jabatan Meteorologi juga memberikan nasihat dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.