Bantuan kit makanan RM2.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KRUBONG 1 Jun – Peruntukkan berjumlah RM2.5 juta akan disalurkan melalui bantuan kit makanan kepada golongan tidak berkemampuan di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga kini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata bantuan kit makanan di bawah program Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) itu diagihkan secara berperingkat bermula PKP 3.0 sehinggalah pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh atau `total lockdown’ bermula hari ini.

Menurutnya, bagi memperhalusi usaha itu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pertubuhan belia telah digerakkan untuk mengenal pasti serta mengagihkan bekalan makanan kepada golongan terjejas.

“NGO dan pertubuhan belia terbabit akan membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengagihkan bakul makanan PERMAI ini.

“Dalam sumbangan ini, kita harap ia mampu mengurangkan beban yang ditanggung masyarakat kurang berkemampuan terutama dalam meneruskan kehidupan ketika pelaksanaan PKP penuh kali ini.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kit makanan kepada tiga penerima bantuan PERMAI di Paya Rumput, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Rafiq Beliau yang juga EXCO NGO Pembangunan Belia dan Sukan negeri menyeru pertubuhan belia dan NGO bagi memainkan peranan membantu bagi memastikan golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal yang tidak berkemampuan memenuhi janji temu suntikan vaksin COVID-19.

“Pertubuhan belia serta NGO di negeri ini diseru bagi mengambil inisiatif agar menyediakan kenderaan untuk membawa golongan terbabit ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memenuhi janji temu mereka.

“Perkara ini penting bagi memastikan semua golongan sasar berkenaan dapat menerima vaksin yang disediakan kerajaan tanpa dibebani masalah pengangkutan,” katanya.

Kerajaan pada Januari lalu mengumumkan pemberian program kit makanan bernilai RM100 setiap satu merupakan antara 22 inisiatif telah dilaksanakan di bawah Pakej Bantuan Khas 2021 dikenali PERMAI sebagai medan bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan kehidupan rakyat terjejas.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post ‘Lega masih boleh berniaga’ – Rakyat
Next post Rugi RM223,220 terpedaya jualan Honda Civic terpakai RM17,800
Ubah saiz-+=