Bantuan kembali ke sekolah MAIM lanjut hingga 9 Julai depan
AYER KEROH 13 Jan. – Penerima asnaf bagi Bantuan Kembali Ke Sekolah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tidak perlu bimbang jika belum menerimanya kerana tempoh tuntutan dilanjutkan sehingga 9 Julai depan.
Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim berkata, bantuan pakaian dan peralatan sekolah bernilai RM250 itu dibuka sejak Ahad lalu dan pelanjutan masa diberikan mencukupi untuk keluarga asnaf menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka.
Begitupun, katanya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bantuan dihentikan seketika dan pihaknya perlu mendapatkan maklum balas dan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur agihan.
“Kita akan dapatkan pandangan itu kerana biarpun sekolah tutup, namun pelajar tingkatan lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu bersekolah, dan ini akan diperincikan dalam masa terdekat ini.
“Kita beri masa sehingga 9 Julai ini bagi menyantuni golongan asnaf yang perlu datang pada bila-bila masa ke pejabat MAIM bagi mendapatkan bantuan ini kerana kekangan jarak, masa dan pandemik yang melanda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Muhammad Ikram berkata, tiada kuota ditetapkan dan setiap anak dalam keluarga asnaf yang terpilih layak menerima bantuan.
“Anak-anak darjah satu hingga tingkatan lima layak terima bantuan pakaian dan peralatan sekolah bernilai RM250 ini.
“Malah, jika tuntutan kurang daripada nilai RM250, bakinya boleh dituntut pada masa akan datang dengan barangan peralatan sekolah disumbang MAIM.
“Ini bagi memastikan mereka sentiasa selesa dengan pakaian yang diberikan, jika pertengahan tahun sudah lusuh atau koyak, lebihan wang dari bantuan yang ada boleh dituntut dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya.
Untuk rekod, sehingga semalam, kira-kira 400 individu telah menerima bantuan itu dan MAIM menyasarkan kira-kira 9,800 penerima.