Sorting by

×

“Bantu rakyat, jangan terlampau berpolitiklah…”

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 16 Julai – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dinasihatkan supaya menumpukan seluruh usaha untuk menyelesaikan permasalahan dan menjamin aspek kesejahteraan rakyat serta memperkasakan ekonomi Negeri Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, semua itu pasti berjalan lancar jika Adun bekerjasama dan mengenepikan fahaman politik.

Fairul Nizam berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof yang mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu perkara yang remeh dan tidak menguntungkan rakyat.

“Saya tidak faham apa yang Adun Sungai Udang ini fikir..bagi saya selaku wakil rakyat yang sudah berkhidmat lebih dua tahun sepatutnya banyak lagi agenda rakyat yang perlu diselesaikan.

“Mengapa perlu bubarkan (DUN) sedangkan kerajaan yang stabil hari ini ada banyak perkara lain lagi untuk diselesaikan, kita mahu perhebatkan pendapatan rakyat Melaka, kita fokus pada isi perut rakyat, tiba-tiba dia mahu bubarkan DUN, saya tidak faham kenapa.

“Ini bukan soal nak jadi calon atau tidak, ini soal rakyat kerana mereka sudah muak dengan politik perebutan kuasa…Jadi saya minta Sungai Udang janganlah terlampau berpolitik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular Negeri Melaka di Japerun Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, Syed Isa Alsagoff, Pengarah Jabatan Penerangan negeri (JaPen), Ab Rasil Hajatil, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Mohd Jailani Deraman serta tetamu lain.

Terdahulu, sebuah portal media tempatan melaporkan, Dr. Mohd Aleef yang mencabar Ab Rauf yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka untuk membubarkan DUN Melaka susulan kenyataannya untuk merampas kerusi DUN Sungai Udang Pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post “Tak perlu bubar, Sungai Udang aja letak jawatan…”
Next post Dakwaan wad kanak-kanak hospital di Melaka penuh tak benar
Ubah saiz-+=