Sorting by

×

Bantu ibu muda ini cari ikhtiar besarkan 6 anak selepas kematian suami

Masa Membaca:2 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 6 Feb. – Tujuh beranak dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, dekat sini, kini hidup serba kekurangan selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Melaka, 11 Januari lalu.

Siti Rosliana Ab Ghani,30, berkata, dia pasrah hilang tempat bergantung dan perlu membesarkan enam anak yang masih kecil berusia 10 hingga tiga tahun tanpa suami tercinta, Azlan Alias,34.

Katanya, pemergian arwah tidak sampai sebulan lalu cukup berat, apatah lagi waktu itu dia masih berpantang selepas melahirkan anak keenam, Nur Dalishah Afiah Azlan yang kini berusia empat bulan.

“Sebelum ini saya dan suami ada mengusahakan warung nasi bajet di Taman Sri Krubong, namun perniagaan tersebut terpaksa dihentikan apabila kesihatan suami semakin merosot, selain saya juga sarat mengandung ketika itu.

“Bila abang (suami) dah tak ada, memang saya hilang tempat bergantung. Sebelum ini abang banyak bantu di kedai dan menguruskan anak-anak. Sekarang, nak kemana-mana pun tak boleh kerana saya tidak pandai memandu kereta.

“Dengan anak-anak yang masih kecil, susahlah. Saya nak keluar bekerja pun tak boleh kerana siapa akan menjaga anak-anak. Mahu atau tidak saya perlu ikhtiar sesuatu jugalah kerana perjalanan anak-anak masih jauh,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya, semalam.

Siti Rosliana berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Namun, bantuan berbentuk wang tunai bulanan dan barangan keperluan asas itu masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan anak-anak kecilnya, termasuk tiga yang bersekolah.

“Saya bersyukur dengan bantuan bulanan JKM berjumlah RM900 dan juga bantuan MAIM, tetapi untuk terus bertahan saya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan. Itu belum dikira jika sesi persekolahan dibuka kembali nanti.

“Anak ketiga saya yang berusia tujuh tahun juga masih belum didaftarkan sekolah untuk tahun 1 kerana tidak sempat berbuat demikian, selain saya juga terpaksa melupakan hasrat untuk memasukkan anak keempat saya berusia enam tahun ke sekolah tadika kerana masih belum mampu,” katanya.

Demi anak-anak, Siti berkata, dia tetap cekal dan berhasrat untuk kembali berniaga bagi menampung perbelanjaannya sekeluarga.

Namun, dia berharap agar pihak berwajib terutamanya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dapat membantu dan memudahkan urusannya untuk mendapatkan lesen sementara sebagai permulaan.

ANAK sulung Siti Rosliana, Muhd Daniel Iqram Azlan menunjukkan foto arwah bapanya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu.

Sementara itu, ibu mentuanya, Sebi Mansor, 61, yang ditemui turut dilihat mengalirkan air mata apabila mengenang nasib menantu dan cucu-cucunya yang hilang kasih sayang seorang suami dan ayah dalam sekelip mata.

Lebih memilukan, pemergian anak lelaki bongsunya itu berlaku selepas setahun pemergian suaminya juga disebabkan penyakit yang sama.

“Keluarga kami memang ada sejarah sakit jantung. Ayahnya pergi baru setahun dan selepas itu pak ciknya pula dan kini dia. Mana boleh tahan nak (anak). Tiada orang boleh tahan dugaan berat sebegini.

“Tapi anak mak cik yang sakit ini mak cik memang tak sangka dia akan pergi. Sebelum meninggal dan ketika hendak ke hospital dia cakap ‘mak, abang pergi ye mak, mungkin abang tak balik sebab abang duduk hospital’. Tak sangka rupa-rupanya dia pergi buat selama-lamanya.

“Anak arwah yang nombor tiga paling rapat dengan arwah dan sering mengigau di waktu malam cari arwah. Sebab itulah buat sementara mak cik tinggal di sini untuk bantu mereka sehingga keadaan kembali stabil,” katanya.

Bagi mereka yang ingin meringankan beban keluarga ini bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank – 154129233610 (Siti Rosliana Ab Ghani).

Views:

1397
Kongsi :
Previous post Pengantin antara 19 individu dikompaun ingkar PKP di Langkawi
Next post Tukang gunting, tauke cuci kereta tarik nafas lega
Ubah saiz-+=