Banteras rasuah sambil gotong-royong
TELOK MAS 13 Julai – Penganjuran gotong-royong bersama jabatan atau agensi kerajaan merupakan antara kaedah dalam menyalur dan menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat setempat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, pembabitan pelbagai jabatan dan agensi dalam sesuatu penganjuran amat penting dan sesuatu yang perlu diadakan diteruskan.
“Jika sebelum ini kebanyakan program MBMB khususnya gotong-royong kami bersama hanya dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sahaja dan buat pertama kalinya kali ini MBMB bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Menerusi program ini kita bukan sahaja bertujuan untuk pastikan kebersihan di kawasan tempat tinggal sebaliknya ingin menyalurkan kepada masyarakat sekitar pentingnya amalan pencegahan rasuah.
“Oleh itu apabila terdapat pembabitan agensi atau jabatan lain dalam program seperti ini masyarakat secara tidak langsung mendapat pendedahan tentang sesuatu perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Program Gotong-royong Perdana Dan Pencegahan Anti Rasuah Bersama Komuniti Telok Mas, di Taman Alai Perdana, hari ini.
Terdahulu, perasmian program tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka Adi Supian Shafie.
Menurut Shadan, masyarakat setempat diseru untuk bersama-sama dalam menjayakan apa jua program yang diadakan di kawasan mereka kerana ia memberi manfaat cukup besar kepada komuniti.
“Dalam melaksanakan program gotong-royong misalnya kita bukan sahaja tertumpu kepada kebersihan tetapi juga sebarkan serta berkongsi tentang integriti.
“Malah dengan adanya reruai seperti pemeriksaan kesihatan masyarakat dapat meluangkan masa untuk mengetahui tahap kesihatan mereka jadi untuk itu kerjasama masyarakat amat perlu untuk sama-sama kita jayakan penganjuran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.