BANK NEGARA MALAYSIA KEKALKAN OPR PADA TIGA PERATUS
KUALA LUMPUR 5 September – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus pada mesyuaratnya hari ini.
Menurut BNM dalam kenyataan di sini, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.
Katanya ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.
“Pada masa depan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus menurun dan dasar monetari yang kurang ketat.
“Perdagangan global dijangka terus pulih dengan sokongan produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E,” menurut BNM.
Menurut bank pusat, prospek pertumbuhan terus bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, volatiliti dalam pasaran kewangan global dan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi utama.
BNM berkata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama 2024 didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.
Pada masa depan, katanya eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan E&E yang terus kukuh.
“Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” kata BNM.
Katanya pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
Menurut BNM, import pengantaraan dan modal yang lebih tinggi akan memberikan sokongan lanjut kepada eksport dan pelaburan.
“Prospek pertumbuhan bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
“Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat dan pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek pelaburan,” kata BNM.
Katanya pemulihan nilai ringgit baru-baru ini didorong oleh perubahan jangkaan berhubung kadar faedah dasar yang lebih rendah di ekonomi utama, khususnya di Amerika Syarikat serta prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.
“Pada masa depan, prospek ekonomi Malaysia yang positif, pembaharuan struktur dalam negeri serta inisiatif sedia ada untuk menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” kata BNM.
Menurut bank pusat, MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut BNM.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.