Sorting by

×

Bank era penjajahan British kini jadi Galeri Warisan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 6 September – Siapa sangka bangunan yang asalnya merupakan sebuah bank pada zaman penjajahan British sekitar tahun 1912 kini bertukar menjadi sebuah galeri tarikan pelancong.

Dinamakan sebagai Galeri Warisan Kota Melaka, bangunan dua tingkat itu kini mempamerkan sejarah kemasyhuran negeri Melaka suatu ketika dahulu.

Bangunan berusia lebih satu abad itu sebelumnya telah dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara sebelum dinaik taraf menjadi galeri warisan.

Pembantu Galeri Warisan Kota Melaka, Zanali Yusof berkata, galeri yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu bakal memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung untuk mendalami sejarah penubuhan Kota Melaka daripada sebuah empayar perdagangan kepada negeri yang pesat membangun kini.

“Tahun 1912 dahulu, bangunan ini adalah Bank HSBC yang kita tahu letaknya di atas kubu atau runtuhan Bastion Hendrik Federick sekitar kurun ke-16 sebelum Jabatan Warisan Negara ambil alih dan pulihara bangunan ini pada 2007.

“Dekat sini kita menempatkan 12 segmen pameran dan ratusan koleksi sejarah melalui kajian mahupun ekskavasi yang bertemakan Kota Melaka Dalam Perspektif Sejarah dan Arkeologi.

“Kita ada dua tingkat. Di aras bawah kita pamerkan bahan-bahan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, laut Melaka, perdagangan dan lain-lain, manakala di aras atas kita banyak menceritakan susur galur penubuhan kota Melaka itu sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

2
PAMERAN menggambarkan Melaka sebagai lokasi perdagangan terkemuka dunia suatu ketika dahulu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Tinjauan Melaka Hari Ini ke ruangan dalam bangunan itu nyata mencetuskan rasa teruja dengan penemuan beberapa artifak dan monumen penting berkisarkan negeri ini.

Seolah-olah berada pada singgahsana Kesultanan Melayu Melaka, pengunjung dapat merasai penceritaan susur galur Melaka daripada taklukan kuasa asing sehingga penubuhan Kota Melaka itu sendiri.

Pada masa sama, mereka yang datang ke sini juga mendapat gambaran jelas mengenai pelbagai aspek kehidupan dan sistem perdagangan yang dijalankan ketika zaman itu, menerusi tayangan video khas yang disediakan.

Mengikut rekod, pada 6 Ogos lalu, Majlis Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam serta dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3118
Kongsi :
Previous post Tiga wanita antara 20 sertai Askar Wataniah
Next post Potensi besar kemajuan Klebang
Ubah saiz-+=