Bank disaran terus bantu PKS memerlukan – PM

Masa Membaca:3 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Bank-bank disaran untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa yang sama, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingati industri perbankan bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada Rabu (28 Jun), telah mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan berkaitan ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Sesi dialog ini dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Jessica Chew,  serta pemimpin bank seperti AMMB Holdings Bhd (AmBank),  Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Menurut Anwar, industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat.

Wakil industri perbankan yang hadir turut bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.

Perbincangan berkenaan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

“Ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi MADANI, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.”

”Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” tambah Anwar.

Penarafan kredit berdaulat Malaysia pada “A-”

Perbincangan ini, antara lain turut menyentuh dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Alhamdulillah, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan “Stabil” oleh S&P Global Ratings (S&P) baru-baru ini membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul susulan pelbagai ikhtiar yang diambil bagi menyokong momentum pertumbuhan dan mengurangkan tekanan inflasi,” kata Anwar.

S&P pada Selasa (27 Jun)  menjelaskan bahawa rasional pengekalan penarafan didorong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari serta kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat berbanding negara berpendapatan setara yang lain.

Sementara itu, tinjauan yang stabil mencerminkan jangkaan kekuatan momentum pertumbuhan negara serta kekukuhan kedudukan luaran bagi tempoh dua tahun akan datang. S&P juga mengakui wujudnya komitmen politik untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal pascapandemik.

“Namun, saya faham bahawa pengukuhan ekonomi ini mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan juga PKS yang sedang pulih daripada pandemik.

“Oleh itu, kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan lagi usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” tambah beliau.

Dalam pada itu, sesi dialog ini merupakan sesi ketiga seumpamanya yang diadakan bersama Perdana Menteri. Sebelum ini Anwar telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan dan pakar-pakar ekonomi.

Segala pandangan yang dikongsikan akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorakkan hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang, dan akan dilancarkan Ogos tahun ini.

Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post Remaja maut rempuh belakang kereta
Next post Inisiatif ringankan beban harga tiket penerbangan mahasiswa IPTA diperkenal Ogos
Ubah saiz-+=