BANJIR TERBURUK DI KAMPUNG KILANG BERAPI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MERLIMAU 14 Oktober – Bencana banjir yang berlaku di Kampung Kilang Berapi disifatkan antara yang terburuk dialami penduduk sejak tiga tahun lalu.

Malah, bencana yang melanda seawal jam 3 pagi berlaku di luar jangka apabila air naik begitu mendadak mengakibatkan ada dalam kalangan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang berharga di kediaman masing-masing.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Muhamad, 30 berkata, tidak sampai sejam selepas hujan lebat melanda, kediamannya telah dinaiki air sehingga paras pinggang.

Katanya, hujan berterusan ditambah keadaan air pasang mengakibatkan air dari Sungai Merlimau melimpah membanjiri kampungnya itu.

“Rumah saya sebelum ini umpama ‘indikator’ sebab kalau rumah saya banjir, rumah-rumah penduduk sekitar pasti akan dinaiki air kerana rumah yang kami diami berdekatan dengan parit.

“Banjir yang berlaku sebelum ini mengakibatkan saya sekeluarga mengambil inisiatif membina tembok penghadang antara dapur dan ruang tamu di bahagian atas tapi kali ini air tetap memasuki seluruh bahagian rumah.

“Sehinggakan dapur ditenggelami separas pinggang, manakala bahagian ruang tamu dinaiki separas lutut dan bahagian luar rumah pula dinaiki hampir pada paras perut,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub (SDARY), di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, bencana yang berlaku kali ini merupakan antara yang terburuk berlaku menyebabkan dia bersama abang, ibu dan iparnya terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Setakat ini air belum surut sebab keadaan air banjir termenung dan kini ibu dan keluarga terpaksa berlindung di PPS sementara menunggu air surut,” katanya.

Terdahulu, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SDARY dan SMK Dang Anum telah disantuni Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1354
Kongsi :
Previous post 50,000 DIJANGKA MERIAHKAN ICAF 2024
Next post KUAM 2024 LEBIH MERIAH
Ubah saiz-+=