Sorting by

×

Banjir terburuk berlaku lagi selepas lapan tahun

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Jan – “Biarpun setiap tahun lebih kurang empat kali berlaku banjir kilat namun kali ini berlaku lagi banjir terburuk selepas lapan tahun yang lalu,” luah Habidah Maarof, 63.

Habidah merupakan antara mangsa banjir awal tahun ini selepas kediamannya ditenggelami air lebih dua meter akibat hujan berterusan awal tahun baharu lalu.

Menurutnya, pada tahun 2014 musibah sama telah menenggelamkan sehingga ke paras bumbung rumahnya di Jalan Bunga Melor Kampung Belimbing Dalam sehingga mengakibatkan keluarganya kehilangan harta benda.

“Dulu tahun pada 2014 pernah berlaku sekali dan kali ini berlaku lagi membuatkan kesemua perkakas elektrik dan perabot rumah rosak akibat banjir yang melanda.

“Kejadian yang berlaku kira-kira pada tengah hari pada pembuka tahun itu membuatkan saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku namun reda dengan musibah yang melanda,” ujarnya.

Habidah menceritakan, hujan lebat yang berlarutan membuatkan dia begitu risau ketika itu apabila hanya tinggal bersama dua cucunya.

Namun dia bersyukur apabila mereka berjaya diselamatkan penduduk dan ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam.

“Pada bulan Dis lalu, banjir kilat berlaku sehinggakan air naik separas pinggang namun setelah berhempas pulas mengemas dan membersihkan rumah kami diduga sekali lagi membuatkan banjir terbesar berlaku selepas lapan tahun yang lalu.

“Kebiasaannya kawasan ini akan banjir dan air akan naik separas anak tangga namun kali ini besar pula dugaan yang diterima saya,” luahnya.

HABIDAH

Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir Kumpulan Anak-Anak Muda Belimbing Dalam mengambil inisiatif bagi membantu penduduk kawasan itu termasuk kediaman Habidah bagi membantu menghulurkan bantuan sewajarnya.

Bagi Habidah, bantuan yang diberikan sekumpulan anak muda yang dibantu syarikat Benojaya Group Sdn. Bhd. begitu meringankan beban keluarganya yang kehilangan harta benda termasuk sebuah kereta tinggalan suaminya.

“Alhamdulillah, mereka sudi datang membantu keluarga kami yang begitu terjejas dengan banjir terburuk ini dan terima kasih diucapkan kepada anak muda dengan kerjasama swasta bagi membantu penduduk kampung ini dalam misi bantuan pasca banjir kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Terima suapan RM320, bekas Penolong Pegawai Perpaduan didenda RM4,000
Next post Selagi ada kudrat, anak muda Durian Tunggal sedia membantu
Ubah saiz-+=