Sorting by

×

Banjir: Tak dapat turun sungai, nelayan menjaring di darat

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 3 Jan – Rezeki untuk nelayan sungai terhenti seketika sejak kelmarin berikutan banjir melanda Pangkalan Nelayan Kampung Telok Berembang, Lubok Cina di sini.

Meskipun begitu, Zailan Shah Abdul Hamid, 38, tetap berusaha mencari rezeki buat keluarganya dengan menjaring di kawasan daratan yang telah dinaiki air di kampung berkenaan.

Katanya, sejak kampung itu dinaiki air setinggi satu meter, dia tidak dapat pergi ke pengkalan untuk menggunakan perahu bagi aktiviti menangkap ikan.

“Saya tidak dapat ke pangkalan kerana air naik tinggi di laluan ke pangkalan, jadi saya terpaksa memasang jaring di kawasan yang dinaiki air di darat.

“Alhamdulillah, Allah tetap mengurniakan rezeki di darat apabila jaring yang saya pasang di beberapa tempat memerangkap ikan keli, haruan, baung, sepat dan belida,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Zailan Shah mempamerkan ikan yang ditangkap dengan kaedah menjaring di kawasan dinaiki air di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

Zailan yang masih bujang berkata, dia memasang jaring pada sebelah petang dan menariknya keesokan paginya dan tersenyum puas dengan pelbagai jenis ikan.

Katanya, tanpa perlu menggunakan perahu, dia mengikat jaring pada pokok sebelum membiarkannya semalaman dengan harapan jaring dipenuhi ikan.

“Setiap kali saya selesai menarik jaring, alhamdulillah ada sahaja pembeli menawarkan harga yang menarik kerana mereka amat menggemari ikan darat (air tawar),” katanya.

Katanya, dia tidak menimbang ikan berkenaan untuk pelanggan, sebaliknya menjualnya secara pukal dengan purata harga tidak lebih daripada RM50.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post Banjir: Melaka beri ubat cegah kencing tikus kepada mangsa, petugas – Exco
Next post Hujan berterusan dijangka masih landa Melaka, lima negeri sehingga esok
Ubah saiz-+=