Banjir semakin buruk, mangsa hampir 12,000 – PM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA 18 Dis – Seramai 11,384 mangsa banjir telah direkodkan di seluruh negara setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan seramai 4,500 keluarga di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurutnya, sebanyak 188 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dengan yang terbanyak ialah di Pahang iaitu sebanyak 84 PPS.

Katanya lagi, seramai 66,015 petugas agensi penguatkuasa juga telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir ketika ini.

“Ia termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, 500 sukarelawan skuad Keluarga Malaysia turut digerakkan bagi menbantu keluarga di PPS yang terlibat.

“Kita juga telah membuka talian hotline NADMA di talian 03-80642400 untuk orang ramai, yang mana talian ini akan menempatkan kesemua pegawai dari agensi-agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung, malam ini.

ISMAIL Sabri

Mengulas mengenai situasi banjir di Selangor, Ismail Sabri berkata, setakat ini 45 PPS telah dibuka dengan menempatkan 3,826 mangsa banjir.

Katanya, disebabkan situasi banjir dianggap mengejut di negeri itu, pihaknya telah menggerakkan 2,718 anggota selain 453 aset kenderaan dan logistik untuk membantu mangsa banjir di Selangor.

“Insya-Allah, kita akan cuba membantu sedaya upaya bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap.

“Saya minta semua agar berhati-hati dan segera maklumkan kepada talian hotline sekiranya memerlukan apa jua bantuan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak
Next post PRN Sarawak: SPR tangguh keputusan DUN Mulu
Ubah saiz-+=