Banjir: Rebat 100 peratus ‘one-off’ bil elektrik bulan Disember

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

HULU LANGAT, 26 Dis – Rebat 100 peratus secara sekali beri atau one-off bagi bil elektrik bulan Disember diberikan kepada pengguna domestik bagi meringankan beban mangsa banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebanyak 72,000 pelanggan domestik terjejas akan menerima manfaat daripada rebat yang akan diberi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ini tidak melibatkan kilang, ia untuk rumah-rumah. Ini lanjutan kepada bantuan yang diberikan, jadi bil elektrik Disember diberikan rebat.

“…Saya juga telah minta TNB untuk membantu kediaman milik B40 yang terjejas akibat banjir apabila bekalan elektrik disambung semula,” katanya.

Beliau berkata sejak Jumaat lepas, syarikat utiliti itu telah melaksanakan kerja pemeriksaan pendawaian percuma di rumah terjejas banjir di Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan menyediakan servis menunda kenderaan secara percuma bagi kenderaan Perodua berdasarkan insurans kenderaan itu.

Beliau berkata bayaran upah buruh untuk membaiki dan servis kenderaan yang dihantar ke pusat servis Perodua adalah percuma dan bayaran alat ganti pula diberikan diskaun 50 peratus.

“Saya difahamkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton (Proton Holdings Bhd) dan sebagainya.

“Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua dan kalau lebih baik daripada itu pun kami mengalu-alukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan bakal menambah peruntukan bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir sebagai tambahan kepada peruntukan awal RM100 juta. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1271
Kongsi :
Previous post Kerajaan tubuh pasukan petugas khas pascabanjir dan persediaan gelombang kedua – PM
Next post TYT prihatin nasib mangsa banjir, beri sumbangan
Ubah saiz-+=