Banjir: Petani dan penternak rugi RM2.8 juta
SERI NEGERI 6 Jan – Sektor pertanian dan penternakan mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2.8 juta akibat bencana banjir yang berlaku sejak bulan lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata berikutan itu, kerajaan negeri akan meminta peruntukan kepada kerajaan Pusat bagi membantu petani dan penternak yang terjejas akibat bencana itu.
Katanya, maklumat mengenai jumlah petani dan penternak yang terkesan akibat musibah banjir itu belum diperolehi sepenuhnya.
“Setakat ini anggaran kerugian petani dan penternak di Melaka bernilai RM2.8 juta melibatkan tanaman kontan ternakan lembu, kambing dan pelbagai lain.
“Bagaimanapun, jumlah petani dan penternak yang terjejas belum diperolehi sepenuhnya berikutan (ia) berdasarkan maklumat diterima dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
“Kita akan kemukakan permohonan kepada kerajaan pusat untuk membantu petani dan penternak yang mengalami kerugian di Melaka,” katanya dalam sidang media Post Exco di Bilik Bijasura, di sini, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran penggantian hak milik berkaitan tanah yang rosak akibat banjir.
“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi pengecualian bayaran penggantian hak milik berkaitan tanah yang rosak akibat banjir dan pemohon perlu mengemukakan bukti yang mereka terlibat banjir untuk terima bayaran terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.