Banjir: Permudah, percepatkan pampasan mangsa – KM
AYER KEROH 25 Dis – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta supaya proses bayaran pampasan kepada 1,000 mangsa banjir di negeri ini dipercepatkan.
Menurutnya, permohonan pampasan mangsa banjir tidak perlu lagi mendapatkan laporan polis sebaliknya hanya memerlukan pengesahan pihak tertentu sahaja.
“Mangsa banjir tidak usah lagi buat laporan polis, cukup ‘confirm’ (pengesahan) dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), wakil rakyat atau penghulu.
“Kemudiannya diserahkan kepada pegawai daerah sebelum dihantar kepada SUK dan kita boleh selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pelepasan peserta misi bantuan pasca banjir kerajaan negeri Melaka ke Pahang, di sini.
Seramai 50 peserta beserta 18 kenderaan menyertai misi bantuan banjir ke Pahang kali kedua tahun ini
Peserta itu terdiri daripada pelbagai agensi antaranya MPHTJ, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Melaka Hari Ini (MHI) sekali lagi dipilih menjadi media rasmi bagi misi bantuan kali ini.
Menurut Sulaiman, bayaran pampasan kepada mangsa banjir boleh dibuat sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Kalau boleh permudah dan percepatkan bayaran pampasan ini sebelum mangsa banjir balik ke rumah mereka nanti.
“Kita permudahkanlah proses bayaran pampasan ini.
“Jangan pula mangsa banjir sudah dua bulan balik ke rumah dari pusat penempatan banjir tetapi duit pampasan tidak dapat lagi,” katanya.
Katanya, jika keadaan itu berlaku ia tentunya memberi gambaran atau tidak imej tidak baik kepada kerajaan.
“Jika berlaku nampakkan kerajaan tidak prihatin sangat terhadap nasib mangsa banjir, ” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.