Banjir: Pejabat daerah kenal pasti mangsa terjejas sebelum salur bantuan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 19 Dis – Kerajaan negeri berjanji menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas melalui bancian pejabat daerah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, beliau sudah mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mendapatkan maklumat mangsa banjir daripada Pejabat Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Beliau berkata, bancian perlu dijalankan pejabat daerah sebelum diteliti kerajaan negeri bagi membolehkan bantuan disalurkan.

“Setakat ini ada dua masjid yang terjejas teruk, iaitu Masjid al-Wakil di Lubok Cina dan di Brisu manakala di kawasan lain hanya membabitkan rumah.

“Saya perlu meneliti dahulu laporan kerosakan yang disediakan pejabat daerah tetapi bagi kerosakan masjid, sumbangan segera akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau gotong-royong anak kariah Lubok Cina membersihkan Masjid al-Wakil di pekan Lubok Cina yang terjejas teruk akibat ditenggelami
banjir semalam.

Mereka mula menjalankan kerja berkenaan selepas air surut mulai jam 7 pagi tadi selepas dinaiki air setinggi kira-kira dua meter sejak jam 5 pagi semalam.

Sulaiman berkata, selain permaidani yang rosak teruk,kerosakan lain yang memerlukan kos agak tinggi untuk kerjapembaikan atau diganti ialah sistem alat pembesar suara.

Dengan mengambil contoh banjir di Lubok Cina, Sulaiman berkata, banjir kali ini agak luar biasa kerana lazimnya air hanya naik di kawasan sekitar bulatan di tengah pekan itu.

Bagaimanapun, kali ini air yang melimpah dari Sungai Rembau bukan setakat membanjiri bulatan itu, malah hampir keseluruhan Kampung Telok Berembang, Brisu dan beberapa kampung lain.

Sementara itu, Pengerusi Masjid al Wakil, Nasarudin Mohd,60, berkata masjid berkenaan amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjalankan kerja pembaikan dan mengganti pelbagai barangan yang sudah rosak.

“Masjid ini tidak pernah dilanda banjir selepas banjir besar pada 1971 tetapi kali ini, kami diuji dengan ujian yang berat tetapi kami reda dan tabah menghadapinya,” katanya.

Sesiapa yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Akaun Bank Islam 040240-1000-4828.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post Program Pertanian Bandar bantu kurang kos sara hidup
Next post Kawasan terjejas ekoran banjir di Sepang terus meningkat
Ubah saiz-+=