Banjir: Melaka agih bantuan kepada 2,528 keluarga terkesan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ALOR GAJAH 29 Dis – Seramai 2,528 keluarga yang terkesan banjir di negeri ini akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 yang diperuntukkan kerajaan persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan keseluruhan berjumlah RM400,000 itu kini dalam fasa pengagihan kepada setiap ketua isi rumah secara berperingkat di semua daerah.

“Mengikut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini mahu mempercepatkan dan mempermudahkan bantuan ini kepada mangsa banjir.

“Kalau boleh sewaktu di pusat pemindahan sementara (PPS) lagi kita mahu berikan, tetapi seperti kita maklum waktu pemindahan itu sangat sibuk dan alhamdulillah akhirnya kita dalam proses untuk menyelesaikan pengagihan bantuan ini.

“Selain hari ini, di Alor Gajah, malam tadi juga kita sudah sampaikan di Pengkalan Batu serta Jasin, dan pengagihan itu akan kita teruskan kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Alor Gajah di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts Kamel Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terlibat dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, keseluruhan mangsa yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini ialah seramai 10,162 orang.

Ia membabitkan 8,052 mangsa di daerah Melaka Tengah diikuti Alor Gajah 1,982 mangsa dan 128 mangsa di Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post Ramalan awal banjir: Pahang, Johor bermula 1 Jan, Kelantan dan Terengganu 31 Dis – PRABN
Next post Hospital medan di HPP, ICU Medan di HKB ditutup
Ubah saiz-+=