
BANJIR MELAKA: 225 MANGSA DIPINDAHKAN, 4 PPS KINI DIBUKA
AYER KEROH 6 Mac – Situasi banjir di Melaka semakin buruk apabila seramai 225 mangsa daripada 65 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di empat buah PPS yang dibuka di dua daerah iaitu Melaka Tengah dan Jasin.
Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa tertinggi adalah di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum yang menempatkan 150 mangsa daripada 46 keluarga.
“Ia diikuti 33 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong; 23 mangsa di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim dan 19 mangsa di SMK Dato’ Abdul Rahman,” kata kenyataan tersebut.
Menurut Sekretariat berkenaan, setakat ini terdapat 34 kawasan masih terjejas banjir iaitu 32 membabitkan daerah Melaka Tengah dan dua di daerah Jasin.
Antara kawasan terjejas adalah Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Batu Berendam, Kampung Kolam, Kampung Limbongan, Taman Pandan Mawar, Taman Malim Jaya, Jalan Merdeka, Taman Pandan Jaya, Taman Gadong Perdana, Taman Bertam Perdana, Taman Pandan Malim dan Lorong Pandan.
Selain itu ia turut membabitkan kawasan Bakar Batu, Taman Balqis Balai Panjang, Taman Malim Permai, Kampung Solok Samak, Kampung Padang Pokok Mangga, Bandar Kaba, Bukit Cina, Bukit Tempurung, Kampung Bandar Hilir, Kampung Ayer Leleh, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Ayer Molek, Paya Dalam, Taman Rambai Indah, Kampung Klebang Kecil dan Kampung Pokok Manggis Pulau Gadong.
Manakala dua kawasan terjejas di daerah Jasin adalah Kampung Kilang Berapi dan Kampung Asam Kumbang.
Orang ramai yang terjejas dengan bencana seperti banjir boleh menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Melaka di talian 06-2307602 / 7624 / 7625 (PKOB Negeri Melaka) atau 06-2325200 (PKOB Melaka Tengah); 06-5591253 (PKOB Alor Gajah) serta 06-5294619 / 4617 / 4611 (PKOB Jasin).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.