Banjir luar biasa: Sistem perparitan perlu dikaji semula

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 12 Ogos – Banjir yang melanda beberapa kawasan di Masjid Tanah dan Alor Gajah, petang semalam disifatkan sebagai bencana luar biasa yang memerlukan perhatian lebih serius serta menyeluruh.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau antara kawasan yang paling teruk terjejas apabila merekodkan lebih 200 mangsa.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau memaklumkan, walaupun banjir besar pernah melanda kawasan itu pada 2021, namun kejadian kali ini disifatkan berbeza kerana ia berlaku secara menyeluruh di kebanyakan tempat dan tidak hanya mengikut kelompok seperti sebelum ini.

Justeru, beliau berkata, aspek seperti sistem perparitan dan beberapa perkara lain perlu dikaji serta diteliti semula bagi mengelakkan bencana sama daripada berulang pada masa akan datang.

Whatsapp Image 2024 08 12 At 1.42.02 Pm

BANJIR turut menyebabkan banyak laluan utama sekitar DUN Ayer Limau ditutup keranai dinaiki air.

“Sebelum ini kita telah menaik taraf ‘crossing culvert’ bermula penghujung 2022, selain menaik taraf ban dan ia berjaya mengatasi isu banjir di kawasan ini, namun kini berlaku lagi.

“Saya tidak menafikan kejadian kali ini luar biasa kerana penduduk tidak menyangka air akan naik sepantas itu, namun kita juga tidak boleh menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan hujan berpanjangan.

“Apapun, kita perlu melihat dan mengkaji secara lebih mendalam apakah faktor-faktor terbaharu ini, sama ada ia membabitkan sampah, rutin pembersihan tali air dan mengkaji sistem perparitan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan banjir di sekitar Ayer Limau, malam tadi.

Dalam tinjauan itu, Hameed turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan dalam DUN Ayer Limau.

Jelas Hameed antara kawasan yang terjejas adalah Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Ramuan China Besar, Ramuan China Kecil, Paya Lebar, Solok Limau Nipis, Sungai Siput, Sungai Jernih, Kampung Lubok China, Pengkalan Pauh dan Teluk Berembang.

“Pihak Japerun Ayer Limau, kita akan membuka bilik gerakan selama 24 jam sehingga keadaan banjir reda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post Banjir kilat luar biasa, antara terburuk dalam tempoh 10 tahun – mangsa
Next post Kerang-kerangan perairan Melaka sudah selamat dimakan
Ubah saiz-+=