Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri
DUNGUN, 18 Dis – Lima orang pekerja balak yang menghuni sebuah rumah kongsi berdekatan Sungai Kelemin di Hulu Dungun di sini, terpaksa menggadai nyawa merenangi banjir sejauh 300 meter untuk ke tebing sungai, sebelum diselamatkan pihak bomba.
Nasir Abdullah, 57, berkata beliau bersama rakan-rakannya terperangkap sejak petang semalam akibat air yang naik mendadak sehingga menenggelamkan sebuah jambatan kecil yang merupakan satu-satunya laluan keluar daripada rumah kongsi itu.
“Kami sudah berada di rumah kongsi sejak lima hari lepas dan hujan sejak semalam menyebabkan air naik begitu cepat menyebabkan kami tidak boleh keluar hari ini. Bekalan makanan pun semakin berkurangan jadi kami pun menghubungi majikan dan minta diselamatkan.
Selepas itu kami keluar dari rumah kongsi dan berenang sampai ke tebing sungai sebab jambatan sudah tenggelam. Bomba pula ambil kami dengan bot,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan pasukan penyelamat di tebing Sungai Kelemin, Kampung Talong, Hulu Dungun di sini hari ini.
Nasir yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata meskipun rumah kongsi didiaminya terletak di kawasan yang tinggi namun beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu kerana bimbang sekiranya banjir semakin buruk dan mereka akan terputus bekalan makanan.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata pasukan penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk menyelamatkan pekerja rumah kongsi berkenaan dengan menyeberangi Sungai Kelemin sejauh lapan kilometer.
“Kerja-kerja penyelamatan dilakukan oleh empat anggota Balai Bomba AMBS dan dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Kuala Jengal, dengan menggunakan sebuah bot milik bomba.
Keadaan arus sungai yang deras dan risiko kayu balak yang hanyut menyebabkan kita mengalami kesukaran menyelamatkan pekerja-pekerja yang berumur lingkungan 50-an itu,” katanya.
Dalam pada itu Zul Husni menasihati semua pekerja rumah kongsi terutama yang terletak berdekatan sungai supaya lebih berhati-hati apabila tibanya musim tengkujuh.
Katanya mereka juga perlu keluar dari rumah kongsi lebih awal sekiranya keadaan hujan berterusan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan keadaan banjir yang lebih buruk sehingga menyukarkan operasi menyelamat.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.